Mali Dikerumuni Bangsa-Bangsa Penjajah PDF Print E-mail
Selasa, 19 Mac 2013 15:42
Tanggal 4 Mac yang lalu, pertempuran sengit telah berlaku di utara Mali yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 50 militan dan seorang tentera Perancis terbunuh. Sehingga kini, Mali masih dalam keadaan yang tidak menentu dan pergolakan terus berlaku semenjak kemasukan tentera Perancis yang dikatakan ingin menumpaskan puak militan yang ingin melakukan rampasan kuasa. Belum ada sebarang tanda-tanda yang menunjukkan konflik yang melanda itu akan segera kembali pulih.
 
Menurut akhbar The Guardian, melalui campur tangan ini, ia telah menjadikan jumlah negara-negara umat Islam yang diserang oleh negara Barat setakat ini  menjadi lapan negara. Negara Afrika Barat yang berjumlah 15 juta orang ini adalah merupakan negara kelapan yang mana rakyatnya dibom dan dibunuh oleh kekuatan Barat selepas  Iraq, Afghanistan, Pakistan, Yaman, Libya, Somalia, dan Filipina. Ini tidak termasuk kekejaman yang dilakukan oleh para penguasa negara ke atas rakyatnya sendiri yang menjadi ejen kepada negara-negara Barat. Dengan campur tangan ini, ia semakin jelas menunjukkan kerakusan negara-negara imperalisme Barat untuk menguasai negeri-negeri umat Islam yang berkepentingan.

Kemasukan tentera Perancis ke Mali telah membuktikan bahawa fungsi PBB hanyalah sekadar menjadi alat politik negara-negara Barat. Pada 20 Disember 2012, Biro Keamanan PBB telah sebulat suara bersetuju dengan rancangan kemasukan tentera-tentera ke Mali atas alasan yang jahat iaitu untuk “menyatukan kembali negara Afrika Utara yang berperang.”


Negara-negara Afrika Barat ingin mengirim pasukan tentera berjumlah 3300 orang untuk mengusir keluar kumpulan-kumpulan bersenjata yang ingin menerapkan hukum Islam di wilayah Bamako, di mana berlakunya kekosongan pemerintahan di wilayah itu setelah terjadinya rampasan kuasa oleh kumpulan bersenjata.

Rancangan campur tangan tentera daripada Perancis ini pada awalnya disepakati oleh Kumpulan Ekonomi Negara Afrika Barat (ECOWAS) dan ia tidak melibatkan campur tangan negara-negara Barat yang lain. Perancis telah mengambil inisiatif menyerang Mali secara agresif walaupun tanpa mandat daripada PBB. Tetapi setelah askar-askar Perancis bertindak memasuki Mali, Setiausaha Agong PBB, Ban Ki-moon terus menyatakan bahawa tindakan tersebut telah mendapat sokongan antarabangsa ketika berucap di Markas PBB pada 14 Januari 2012. Dalam hal ini, PBB telah bersetuju dengan campur tangan Perancis di Mali.  Untuk mengesahkan serangan ketenteraan ini, Perancis, British dan negara-negara Barat yang lain telah menggunakan dalih memerangi ‘terorisme’ dan melindungi rakyat Mali. Bagi mendapatkan simpati daripada masyarakat Barat, media telah mempropagandakan bahawa nilai-nilai mereka (Barat) adalah ala ‘Islamik’ berbanding perjuangan utama untuk menegakkan syariah Islam yang sedang berlaku di sana.

Mencegah Berdirinya Negara Islam

Terdapat beberapa kemungkinan dan motif Perancis menyerang Mali, antaranya adalah wujudnya kebimbangan bahawa Mali bakal menjadi sebuah negara Islam. Satu perkara yang sangat-sangat ditakuti oleh Barat selama ini adalah berdirinya negara Islam terutamanya Daulah Khilafah Islam yang akan menerapkan syariat Islam dan menolak segala bentuk campur tangan kuasa asing di negeri-negeri umat Islam.

Ketika Presiden Amadou Toumani Toure dijatuhkan daripada posisinya oleh seorang pegawai tentera pada pertengahan Mac tahun lalu, Gerakan Nasional Bagi Pembebasan Azawad (MNLA) dan Gerakan Kesatuan dan Jihad di Afrika Barat (MUJWA) telah menguasai wilayah utara dan kota-kotanya termasuk Gao dan Timbuktu. Para mujahidin Mali bertekad untuk meraih kemenangan dan menerapkan syariah Islam.

Nicolas Sarkozy ketika masih memegang jawatan Presiden Perancis telah mengingatkan tentang ancaman ini. Pada 13 April 2012, dia telah menyeru dan melakukan segala bentuk usaha untuk mencegah berdirinya sebuah negara yang disebutkannya sebagai teroris atau Islam di wilayah Afrika Utara. Setelah kenyataan itu dibuat, pemberontak Tuareg dan pejuang  Islam telah melakukan pemberontakan di bahagian utara Mali. Pada ketika itu jugalah Sarkozy seakan-akan telah memberikan petunjuk bahawa kemungkinan Perancis akan ‘bertindak’.

Polisi Sarkozy yang terkenal sebagai anti Islam nampaknya diteruskan oleh Presiden yang ada sekarang. Istilah teroris memang kerap kali digunakan sebagai label oleh Barat terhadap sesiapa sahaja yang menolak campur tangan Barat dan yang menginginkan tertegaknya syariah Islam. Terorisme ini kemudiannya menjadi label yang ampuh untuk membenarkan apa sahaja tindakan Barat walaupun ianya melanggar Undang-undang Antarabangsa yang dibuat oleh mereka sendiri.

Amaran Terhadap  Mujahidin Syria

Tindakan Perancis ini juga seakan-akan satu amaran bagi negeri-negeri umat Islam yang lain yang ingin menegakkan negara Islam, apatah lagi Daulah Khilafah. Barat akan melakukan segala macam cara untuk mencegah keinginan yang mulia ini. Gelombang keinginan untuk mendirikan negara Islam supaya syariah Islam dapat diterapkan secara menyeluruh memang sangat-sangat membimbangkan Barat, terutama sekali apabila melihat situasi terkini yang berlaku di Syria.  Semakin kuatnya pasukan mujahidin dan semakin lemahnya rejim Assad membuatkan kuffar Barat sentiasa berada di dalam kebimbangan.

Berbeza keadaannya dengan Tunisia, Mesir ataupun Yaman, sehingga ke saat ini Barat masih belum mendapat penggganti ejen tali barut yang sesuai untuk menggantikan rejim Bashar Assad.  Perjuangan para mujahidin yang tegas untuk menegakkan Khilafah Islam, membebaskan Al-Quds daripada penjajahan Israel, menyelamatkan kaum Muslimin di Rohingnya dan negeri-negeri umat Islam yang lain sangat menggentarkan musuh-musuh Islam.

Barat perlu berfikir dengan mendalam jika mereka berniat hendak menyerang Syria apabila Khilafah benar-benar (dengan izin Allah) telah tertegak di sana. Rakyat Syria bersama-sama umat Islam dari negeri-negeri umat Islam yang lain akan bersatu melakukan jihad melawan segala bentuk pencerobohan dan serangan daripada penjajah. Jihad yang dilakukan di Syria pada hari ini bukan sekadar disokong oleh satu atau dua kelompok. Laporan terbaru menyatakan bahawa terdapat sejumlah seratus orang Muslim dari Belanda yang ingin berjihad ke Syria, di samping umat Islam yang lain dari seluruh dunia sedang membantu dari segala aspek. Ini berlaku khususnya apabila pandangan masyarakat umum (public opinion) tentang bakal berdirinya Khilafah semakin merebak ke seluruh dunia.

Barat sememangnya tidaklah sehebat dan sekuat mana sepertimana yang ditonjolkan. Lihatlah mereka ketika menghadapi kumpulan-kumpulan mujahidin di Afghanistan dan Iraq, mereka  menghadapi terlalu banyak kesulitan dan kekalahan, apatah lagi jika mereka ingin berdepan dengan hampir seluruh rakyat Syria bersama-sama umat Islam ikhlas yang lain yang bangkit melawan penjajahan Barat.  Di samping itu, Amerika dan Eropah juga perlu mempertimbangkan aspek pembiayaan dana yang besar untuk berperang tatkala ekonomi mereka sedang menghadapi krisis yang serius.

Persaingan Amerika Dan Perancis

Persaingan  Amerika dan Perancis juga kelihatan jelas dalam perkara ini. Perancis nampaknya tidak ingin sama sekali melepaskan Mali daripada cengkamannya setelah berjaya menjajah negara tersebut setelah sekian lamanya. Pada masa yang sama, Amerika juga berusaha untuk menguatkan pengaruhnya dengan menyokong rampasan kuasa yang dilakukan tentera terhadap Presiden Amadou Toumani Toure. Umum telah mengetahui bahawa Presiden Amadou Toumani Toure adalah merupakan budak suruhan Perancis.

Dalam satu soal Jawab tentang rampasan kuasa tentera yang berlaku di Mali yang dikeluarkan oleh Hizbut Tahrir pada 24 Mac 2012 yang lalu, telah dijelaskan bagaimana Amerika akhir-akhir ini sedang berusaha untuk meningkatkan  pengaruhnya di Mali dengan mengadakan perjanjian dengan Mali untuk memberi latihan kepada tentera-tentera Mali atas alasan untuk memerangi terorisme. Akhirnya Mali bersetuju untuk memilih para perwira yang mereka miliki dan mengirim mereka ke Amerika bagi mengikuti mengikuti latihan di sana.

Laman al-‘Ashru (24/3/2012) telah mememetik kenyataan diplomat Amerika yang mengatakan bahawa,  “pemimpin kudeta, Kapten Amadou 'Ahmadou' Haya Sanogo dipilih daripada kalangan perwira Mali oleh kedutaan Amerika untuk mendapat latihan ketenteraan agar dapat memerangi terorisme dan latihan itu bertempat di Amerika Syarikat“.  DaIam kenyataannya, ia menambah bahawa “Sanogo telah beberapa kali pergi ke Amerika untuk tugas-tugas khusus”.

Sementara itu, Perancis tidak merestui rancangan rampasan kuasa tersebut. Perancis membekukan kerjasama politik, ketenteraan dan ekonominya dengan Mali.  Begitu juga dengan bantuan-bantuan lain kepada Mali.  Amerika pula bertindak di sebaliknya. Jurucakap Kementerian Luar Negara AS, Victoria Nuland menegaskan bahawa negaranya tidak bercadang untuk membekukan bantuan-bantuan Amerika ke atas Mali (Aljazeera, 23/4/2012).  Nilai bantuan Amerika ke Mali telah mencecah 137 juta dolar setahun.

Fakta ini menunjukkan bahawa Amerika berada di sebalik rancangan rampasan kuasa yang terjadi di Mali. Tujuannya adalah untuk menanam dan memperluaskan pengaruhnya di negeri umat Islam Mali itu. Negara Uncle Sam ini sedang berusaha menggantikan pengaruh Perancis sebagai penjajah lama Mali.  Bagi tujuan tersebut,  Amerika ingin cuba menunda pilihanraya yang akan diadakan di Mali tidak lama lagi kerana faktor politiknya masih berkiblat kepada Perancis. Melalui rampasan kuasa ini, Amerika berharap akan dapat mengubah permainan politik di Mali yang kini sedang dikuasi oleh ejen-ejen Perancis.

Begitulah keadaan Mali yang terikat dengan Amerika melalui gerakan “militer“.  Lingkungan politik lama yang telah dibina oleh Perancis kini sukar untuk menguasai situasi baru.  Campur tangan secara langsung yang dilakukan oleh Perancis terhadap Mali adalah merupakan cara untuk mempertahankan pengaruhnya di sana. Perancis tetap melakukan pencerobohan walaupun tanpa mendapat sebarang persetujuan daripada Biro Keamanan PBB. Setelah melakukan serangan,  barulah Setiausaha Agung PBB mengadakan sebuah mesyuarat tergempar atas permintaan Perancis yang diadakan di New York. Duta Besar Perancis di PBB, Gerard Araud mengatakan bahawa pemerintahnya telah mendapat sokongan daripada 14 anggota Biro Keamanan PBB yang lain. Sebelum itu, Perancis telah pun mengirim seramai 550 orang tentara ke bandar Mopti dan Bamako, dan jumlah tersebut dikatakan akan bertambah sebanyak 2500 orang tentera lagi dalam beberapa hari.

Negeri Umat Islam Yang Kaya

Mali adalah sebuah negeri umat Islam di mana lebih daripada 90 peratus penduduknya adalah Muslim dan mereka telah memeluk Islam sejak ratusan tahun yang lalu.  Pada akhir abad ke-19, penjajah Perancis telah menjajah Mali dan mengisytiharkan penggabungannya ke dalam Perancis pada tahun 1904.  Perancis akhirnya telah memberikan ‘kemerdekaan’ pada tahun 1960.  Mali adalah negeri yang kaya dengan bahan galian berupa emas, fosfat, kaolin, bauksit, besi, uranium dan lain-lain.  Tidak hairanlah jika para penjajah khususnya Perancis dan Amerika saling berebut kekayaan alam ini di Mali.

Perancis sendiri sangat memerlukan Mali kerana ia merupakan negara pengeluar uranium di Afrika Barat. Dua pertiga bahan bakar Perancis berasal daripada tenaga nuklear yang mana ia memerlukan sumber uranium. Sebagai pengeluar emas ketiga terbesar di Afrika, Mali merupakan wilayah yang sentiasa menjadi perhatian para penjajah.

Begitulah situasi negeri umat Islam yang menjadi rebutan para penjajah yang rakus.  Semua itu terjadi adalah disebabkan oleh keadaan umat Islam yang telah berpecah belah dan diperintah oleh sistem selain daripada Islam. Para penguasanya tidak lagi memelihara urusan-urusan rakyatnya, sebaliknya para penguasa kaum Muslimin itu sedang sibuk memenuhi kepentingan-kepentingan kaum kafir penjajah. Akibatnya kaum Muslimin menjadi hina setelah mereka kehilangan perkara-perkara yang menjadikan mereka mulia.  Akhirnya umat-umat lain datang berkerumun merebut-rebut diri mereka seperti mengerumuni hidangan di atas meja.  Kaum Muslimin terdahulu adalah umat yang terbaik dan telah membawa kebaikan ke seluruh pelusuk dunia.  Mereka memikul risalah kebenaran dengan dakwah dan jihad. Benarlah khabar sabda Rasulullah SAW:

 
«يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا»، فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: «بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ» فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا الْوَهْنُ؟ قَالَ: «حُبُّ الدُّنْيَا، وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ»

"Umat-umat hampir mengerumuni kalian sepertimana mereka mengerumuni hidangan yang terhampar di atas hidangan.  Lalu ada seseorang bertanya, “Adakah kerana kami pada waktu itu sedikit jumlahnya?”.  Rasul bersabda, “Bahkan kalian pada waktu itu ramai, akan tetapi kalian seperti buih di lautan. Sesungguhnya Allah mencabut daripada dada-dada musuh kalian kegentaran terhadap kalian, dan Allah mencampakkan di hati kalian al-wahn”.  Seseorang bertanya, “Ya Rasulullah, apakah al-wahn itu?”.  Beliau bersabda, “Cintakan dunia dan takut kematian”. [HR Abu Dawud daripada Tsauban]

Kini kita perlu mencampakkan daripada diri kita kecintaan kepada nikmat dunia dan ketakutan kepada kematian di jalan Allah.  Kita harus berjuang dengan penuh kesungguhan untuk merealisasikan berita gembira yang telah disampaikan melalui lisan Rasulullah SAW tentang akan kembalinya Khilafah ar-Rasyidah selepas kekuasaan diktator yang sedang berkuasa pada waktu ini. Sabda Nabi SAW:
 
«…ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا جَبْرِيَّةً، فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ، ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا، ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ نُبُوَّةٍ» ثُمَّ سَكَتَ

Kemudian akan ada kekuasaan yang mencengkam (diktator). Maka ia akan tetap ada atas izin Allah.  Kemudian Allah akan mengangkatnya jika Dia berkehendak mengangkatnya.  Kemudian akan kembali Khilafah ‘ala minhajin nubuwwah (Khilafah di atas jalan kenabian).”  Kemudian beliau diam.” [HR Ahmad]