Politik Agama PDF Print E-mail
Isnin, 28 Disember 2009 19:12
Parti-parti Islam yang memperjuangkan syariat Islam atau menegakkan kembali Negara Khilafah atau Daulah Islam sering dituduh melakukan ‘politik agama’, iaitu berpolitik atas nama agama atau mengheret agama ke dalam dunia politik. Sudah tentu tuduhan sebegini cukup mendukacitakan dan dikesalkan.

Memang benar, jika ‘politik agama’ diertikan sebagai penyalahgunaan agama untuk tujuan menjustifikasikan kepentingan politik tertentu, jelas ini tidak dibenarkan. Sebagai contoh, mempergunakan ayat Quran atau dalil tertentu dalam kempen pilihanraya untuk  meraih undi dan menarik perhatian pengundi atau untuk menjauhkan para pengundi dari parti tertentu. Katakan parti A mempunyai lambang pohon pokok, lalu parti lawan B menggunakan ayat, “Janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim.” (TMQ al-Baqarah (2) : 35). Ini jelas sama sekali tidak dibenarkan kerana menyalahgunakan ayat dan juga tidak kena pada tempatnya.

Akan tetapi, lain pula halnya jika politik agama ini difahami dengan maksud ‘berpolitik atas dasar agama’. Di sini kita perlu mengkaji secara kritis istilah ‘politik agama’ dalam erti yang sebenar kerana istilah itu boleh membawa virus ideologi tertentu yang perlu diawasi.

Menolak Istilah ‘Politik Agama’

Istilah ‘politik agama’ sebenarnya bukanlah istilah yang neutral, tetapi ia mempunyai kaitan dengan suatu pandangan hidup tertentu (worldview), tidak lain dan tidak bukan iaitu ‘sekularisme’. Dalam masyarakat sekular barat, pemisahan agama dari gereja (agama) adalah suatu kemestian. Oleh sebab itu, ‘politik agama’ dipandang tidak sah dan tidak boleh diterima. Robert Audi (2002) menjelaskan bahawa daripada sekularisme terdapat 3 prinsip asas dalam kehidupan bernegara:

1) prinsip kebebasan (libertarian)
2) prinsip kesamaan/kesetaraan (equality) dan
3) prinsip keneutralan (neutrality).

Berdasarkan prinsip yang terakhir ini (neutrality), sesebuah negara haruslah mengambil sikap neutral di antara semua agama-agama yang ada. Sebaliknya, jika negara tersebut mengutamakan serta menerapkankan undang-undang atau hukum-hakam sesuatu agama tertentu (dari pelbagai agama yang ada) dalam mengatur kehidupan bernegara, maka ini bererti bahawa negara itu telah melanggar salah satu prinsip dasar sekularisme. Inilah ‘politik agama’ yang dianggap sebagai suatu penyimpangan (corruption) dalam logika sekular kerana agama harus dipisahkan daripada urusan politik bagi pendapat mereka. Maka adalah wajar sekiranya kaum sekular ini menolak jika agama ingin dibawa masuk ke dalam politik atau orang berpolitik atas nama agama.

Apakah sebabnya sekular menolak campur tangan agama dalam kehidupan politik? Hal ini perlu dirujuk kembali kepada sejarah masyarakat Barat pada Abad Pertengahan (abad ke 5 hingga 15 Masihi) ketika gereja dan negara mendominasi serba serbi segala aspek kehidupan masyarakat, bermula daripada urusan keluarga, ekonomi, politik, sosial, seni sehinggalah kepada ilmu pengetahuan, semuanya harus tunduk kepada ketentuan gereja. Struktur masyarakat seperti ini ternyata telah menimbulkan kerugian yang luar biasa atas kemanusiaan dalam segala bidang sehinggakan abad-abad itu dikenali sebagai “Zaman Kegelapan” (The Dark Ages).

Zaman Kegelapan ini mula dibawa keluar pada awal abad ke-16M melalui sekularisasi terhadap gereja melalui reformasi (terhadap penyimpangan gereja Katolik), renaissance dan humanisme. Abad-abad yang seterusnya (abad ke-17 hingga ke-19M) merupakan lanjutan dan pematangan sekularisasi dengan wujudnya Abad Pencerahan (Enlightenment). Dalam tempoh ini, para ahli falsafah, teologi, sosiologi, sejarawan, politikus dan lain-lain menyeru kepada penyingkiran nilai-nilai agama daripada kancah kehidupan. Mereka menyeru semangat rasionalisasi dan menitikberatkan aspek kemanusiaan, kebebasan dan keadilan. Usaha pemisahan gereja daripada negara ini mencapai kemuncaknya pada Revolusi Perancis (1789) dengan seruan “Gantunglah raja terakhir dengan usus pendeta terakhir”. Daripada tinjauan sejarah ini jelas dapat difahami bahawa proses sekularisasi adalah perkara yang ‘mesti’ bagi peradaban Barat beragama Kristian. Tanpa sekularisasi, Barat tetap berada dalam kemunduran dan kegelapan di bawah penindasan gereja Kristian.

    Hasilnya sekularisme inilah yang menafikan agama dalam kehidupan yang mendasari penolakan politik agama. Oleh kerana itu, jika didapati ada mana-mana parti atau kelompok dakwah yang mengusung misi politik berteraskan agama, misalnya penegakan syariat Islam dalam kehidupan bernegara, atau misi mendirikan Negara Khilafah atau Daulah Islam, maka ini dengan mudahnya dicop sebagai telah melakukan ‘politik agama’. Sudah tentu stigma sebegini bukanlah berdasarkan perspektif Islam, tetapi berdasarkan perspektif asing iaitu sekularisme yang tumbuh dalam masyarakat Barat Kristian.

Islam dan Politik

Secara normatif dan sejarahnya, Islam mempunyai pandangan yang sangat berbeza dengan sekularisme dalam masalah politik. Politik adalah sebahagian atau salah satu juzuk daripada keseluruhana norma Islam, iaitu “al-Islam din wa minhu ad-Daulah.”  (Islam adalah Deen dan negara adalah sebahagian daripadanya). Dalam perspektif Islam, perkataan ‘politik’ (arab = as-siyasah) bermaksud “mengatur urusan manusia (dalam dan luar Negara) berdasarkan hukum syariat Islam”. Politik ini dilaksanakan secara langsung oleh Negara Islam/Daulah Islam (Khilafah) serta diawasi oleh individu dan kelompok rakyat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Bani Israil senantiasa diatur urusannya oleh para Nabi. Setiap kali seseorang nabi meninggal, ia akan digantikan oleh Nabi yang lain. Akan tetapi, tidak akan ada lagi Nabi sesudahku. Yang akan ada adalah para Khalifah yang jumlahnya banyak sekali.” (Hadis riwayat Muslim).

Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari memberikan penjelasan hadis di atas dengan mengatakan, “di dalam hadis ini ada isyarat bahawa tidak boleh tidak, rakyat harus mempunyai seseorang yang menguruskan pelbagai urusan mereka, membawa mereka ke jalan yang baik, dan menolong orang yang dizalimi daripada orang yang membuat zalim”. Imam an-Nawawi juga sependapat dalam hal ini.

Para ulamak menekankan bahawa politik dan agama adalah ibarat dua saudara kembar (Imam al-Ghazali). Dikatakan juga, “Jika kekuasaan (as-Sultan) terpisah daripada agama atau jika agama terpisah daripada kekuasaan, nescaya keadaan manusia akan menjadi rosak”. (Ibnu Taimiyyah). Dalam terminologi Islam, sistem politik Islam dinamakan Khilafah atau Imamah. Kewajibannya secara normatif dalam Islam adalah sesuatu yang tidak dapat diragukan lagi. Seluruh Imam mazhab dan para mujtahid besar telah bersepakat sebulat suara tentang kewajiban wujudnya Khilafah atau Imamah. Bahkan bukan hanya dari kalangan Ahlus-Sunnah wal Jamaah, malah puak Syiah, Khawarij dan Mu’tazilah juga tanpa kecuali bersepakat dalam hal ini.

Jadi dengan jelas, terang lagi bersuluh di sini bahawa penolakan terhadap politik Islam adalah bukan merujuk kepada norma atau pengalaman sejarah Islam. Sebaliknya ia adalah merujuk kepada norma dan sejarah masyarakat Kristian Eropah. Ini adalah taklid buta yang sangat membahayakan dan menyesatkan kaum Muslimin.     


Sumber: HTI