Poster/Seminar

Banner
Banner
Banner

Kempen

Banner
Banner

Majalah Nusrah

Banner
We have 58 guests online
SN316 - RAMADHAN - BULAN TURUNNYA AL-QURAN…UNTUK DIAMALKAN PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Jumaat, 10 Ogos 2012 06:04

SN keluaran 10 Ogos 2012
 
  alt

RAMADHAN - BULAN TURUNNYA AL-QURAN…UNTUK DIAMALKAN

[SN316] Sungguh cepat rasanya masa berlalu sehingga kita kini sudah pun memasuki suku ketiga bulan Ramadhan, bulan di mana pintu-pintu syurga terbuka luas, bulan di mana pintu-pintu neraka tertutup rapat dan bulan di mana syaitan-syaitan terbelenggu. Ramadhan adalah bulan yang dipilih oleh Allah SWT untuk manusia berpuasa di dalamnya, sebagai ibadat dari makhluk untukNya. Dia telah menjadikan bulan ini sebagai bulan yang mempunyai pelbagai kelebihan berbanding bulan-bulan yang lain sebagai hadiah istimewa kepada hamba-hambaNya yang beriman dan bertakwa. Di dalam bulan RamadhanlahditurunkanNya suhuf untuk Ibrahim dan Musa serta kitab Zabur dan Injil. Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh kemuliaan dan keberkatan apabila di bulan ini jugalah Allah SWT menurunkan kitabNya yang terakhir, Al-Quranul Kareem, kepada RasulNya yang terakhir, Muhammad SAW. Firman Allah SWT,

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara haq dan batil)” [TMQ al-Baqarah (2):185].

Pada bulan Ramadhanlah terdapatnya satu malam (lailatul qadar) yang lebih baik dari seribu bulan. Di bulan ini, ramai Muslim yang membaca Al-Quran dan berusaha untuk menghabiskan 30 juzuk bacaan. Di sepanjang malam bulan Ramadhan pula, ramai para imam huffaz dijemput mengimami solat tarawih di masjid-masjid demi memperdengarkan kelunakan taranum mereka bagi menambah kekhusyukan para makmum. Pendek kata, di dalam bulan yang mulia ini, kaum Muslimin berlumba-lumba dan berusaha mendampingkan diri mereka dengan Al-Quran.

Walaupun usaha mendekatkan diri dengan Al-Quran di bulan Ramadhan ini patut dipuji, namun persoalannya adalah, sejauh manakah kaum Muslimin memahami Al-Quran yang mereka baca? Sejauh manakah tersentuh dan tergetar hati mereka setiap kali ayat-ayat suci Al-Quran itu dibaca, sebagaimana firman Allah SWT,

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati-hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, maka bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah” [TMQ al-Anfal (8):2].

Dari satu aspek, bagaimana mungkin seseorang dapat menghayati maksud Al-Quran sekiranya ia tidak memahami bahasa Arab yang merupakan bahasa Al-Quran? Dari aspek lain yang lebih penting, seseorang Muslim itu haruslah memahami bahawa Al-Quran bukanlah sekadar untuk dibaca atau didengari sahaja, tetapi mesti diamalkan isi kandungannya. Ini kerana, membaca Al-Quran adalah bernilai sunat manakala mengamalkannya adalah bernilai wajib! Justeru, apa yang harus diperhatikan di sini adalah, sejauh manakah kaum Muslimin telah melaksanakan ajaran Al-Quran di dalam kehidupan mereka? Aisyah ra pernah menyifatkan Rasulullah SAW sebagai Al-Quran yang berjalan, yang bermaksud bahawa Rasulullah SAW adalah orang yang mempraktikkan (melaksanakan) seluruh ajaran Al-Quran di dalam kehidupannya. Jadi, kita harus tanya diri kita, sejauh manakah kita telah mempraktikkan Al-Quran di dalam kehidupan? Sejauh manakah kita telah berusaha untuk menjadikan diri kita sebagai Al-Quran yang berjalan, sebagai usaha untuk kita mencontohi Rasulullah SAW?

Al-Quran Adalah Kitab Amanah

Sesungguhnya Al-Quran merupakan satu amanah yang amat berat yang wajib dipikul oleh manusia. Kerana itulah hati-hati orang beriman akan bergoncang apabila membaca dan dibacakan ayat-ayat Al-Quran. Allah SWT menyatakan bahawa,

“Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan itulah perbandingan yang Kami kemukakan kepada manusia supaya mereka memikirkannya” [TMQ al-Hasyr (59):21].

Di dalam ayat lain Allah SWT menyatakan,

“Sesungguhnya Kami telah tawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, tetapi mereka enggan memikulnya kerana takut akan mengkhianatinya. Tetapi manusia (sanggup) memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil” [TMQ al Ahzab (33):72].

Ibnu Katsir menjelaskan maksud ‘amanah’ yang diutarakan oleh beberapa mufasirin dan berkomentar bahawa tidak ada perbezaan di antara pendapat-pendapat mufasirin tersebut di mana mereka sepakat bahawa ‘amanah’ adalah merujuk kepada tanggungjawab serta pematuhan manusia kepada perintah dan larangan (Allah) yang wajib ditunaikan, yang mana siapa yang menunaikannya akan mendapat ganjaran dan siapa yang mengkhianatinya akan mendapat seksa.

Justeru, dengan membaca dan mendengar bacaan Al-Quran, khususnya di sepanjang Ramadhan ini, seseorang itu harus merasakan bahawa terdapat satu amanah yang berat yang wajib dipikul di bahunya dari sudut melaksanakan segala perintah dan larangan Allah SWT yang terdapat di dalamnya. Lebih penting, bukan sekadar mesti ‘merasakan’, malah ia mesti ‘melaksanakan’ segala perintah dan larangan Allah SWT yang termaktub di dalam Al-Quran. Jika gunung yang begitu besar dan kukuh pun akan terpecah belah kerana takutkan Allah di dalam memikul amanah, adakah kita mempunyai ketakutan yang sama di dalam memikul amanah yang besar dan berat ini? Ingatlah bahawa Al-Quran itu tidak diturunkan kepada gunung yang kuat itu, tetapi telah diturunkan kepada kita yang serba lemah ini, maka wajiblah bagi kita berusaha keras menunaikan apa sahaja perintah dan larangan Allah SWT di dalam Al-Quran dengan penuh ketakutan akan azabNya (jika tidak menunaikan amanah ini).

Mu’az bin Jabal pernah menyeru penduduk sebuah bandar dan berkata,

“Hari ini pembaca Al-Quran (jumlahnya) sedikit tetapi pengamalnya ramai, bagaimana (keadaan) masanya nanti apabila pembaca Al-Quran itu (jumlahnya) ramai dan pengamalnya pula menjadi sedikit?”

Nampaknya masa yang beliau khuatiri itu telah pun tiba dan inilah masanya di mana kita melihat pada hari ini jumlah golongan pembaca Al-Quran adalah ramai tetapi pengamalnya amat sedikit! Apatah lagi di bulan Ramadhan, kita melihat di mana-mana tempat betapa ramainya kaum Muslimin yang bertadarus Al-Quran dan masjid dipenuhi dengan solat tarawih dengan imam membaca Al-Quran dengan penuh mendayu dan khusyuk. Namun, lihat sahajalah kehidupan seharian kita sama ada secara individu, bermasyarakat apatah lagi bernegara. Hatta di bulan Ramadhan sekalipun, masih terdapat terlalu ramai individu yang terlibat dengan riba walhal mereka membaca ayat-ayat Al-Quran yang mengharamkan riba secara qath’ie. Kita juga mendapati berleluasanya kes perzinaan dan (hasilnya) pembuangan bayi di seluruh negara, walhal mereka membaca atau dibacakan ayat-ayat Al-Quran tentang haramnya perzinaan dan pembunuhan.

Kita melihat negara (pemerintah) membiarkan, malah menggalakkan aktiviti perbankan riba secara besar-besaran walhal mereka membaca (atau dibacakan) ayat-ayat Al-Quran yang mengharamkan riba. Kita melihat parti pemerintah dan parti pembangkang yang terdiri daripada orang-orang Islam sebagai ahlinya, menolak penerapan hudud dengan pelbagai dalih dan alasan, walhal mereka membaca Al-Quran tentang kewajipan menerapkan hudud. Kita melihat bagaimana baiknya hubungan parti pemerintah dan pembangkang dengan orang-orang kafir yang merupakan rakan-rakan komponen mereka walhal mereka membaca ayat-ayat Al-Quran tentang keharaman mengambil orang-orang kafir sebagai teman. Kita menyaksikan bagaimana hukum jihad langsung tidak dilaksanakan oleh pemerintah walhal mereka membaca (atau dibacakan) ayat-ayat Al-Quran tentang kewajipan jihad bagi menyelamatkan umat Islam yang tertindas dan membuka tanah-tanah baru atas nama Islam. Pendek kata, berapa ramai daripada individu, ahli gerakan dan pemerintah pada hari ini yang membaca Al-Quran tetapi tidak mengamalkannya!

Hingga ke hari ini, Palestin masih terjajah, Kashmir masih menderita dan terbaru, kaum Muslimin di Rohingya dibantai oleh kaum musyrikin Myanmar dengan pembantaian di luar batas kemanusiaan. Walaupun mengetahui akan hakikat semua ini, namun pemerintah kaum Muslimin masih tetap berdiam diri dan tidak mengerahkan walau satu ketumbukan tentera untuk menyelamatkan kaum Muslimin yang dianiaya dengan dahsyat ini. Mereka dibunuh, dirogol dan diusir dari kampung halaman. Mereka terpaksa hidup dalam pelarian dengan keadaan yang sangat mengerikan. Namun, para penguasa Muslim tetap berpeluk tubuh, malah menikmati segala kemewahan di takhta masing-masing tanpa berbuat apa-apa untuk membantu. Padahal, Allah SWT memerintahkan di dalam Al-Quran,

“Jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan”
[TMQ al-Anfal (8):72].

Semua ini menjadi bukti betapa ramai dari kalangan pemerintah dan umat Islam yang membaca Al-Quran tetapi tidak mengamalkan perintah dan larangan Allah, yang sekali gus bermaksud mereka telah mengkhianati amanah yang Allah letakkan di bahu mereka!

Menjadi Mulia Dan Hina Dengan Al-Quran

Umum mengetahui bagaimana umat Islam pada zaman Rasulullah SAW dan sesudah baginda (zaman Khilafah) telah diangkat oleh Allah SWT menjadi umat yang terbaik. Ini kerana, mereka adalah golongan yang mengamalkan isi kandungan Al-Quran di dalam kehidupan individu, masyarakat dan juga negara. Al-Quran diterapkan di dalam sistem pemerintahan mereka. Sistem ekonomi, sistem pergaulan, uqubat, pendidikan dan polisi luar negeri, segala-galanya diterapkan berdasarkan hukum-hakam yang terkandung di dalam Al-Quranul Kareem. Dakwah dan jihad dilaksanakan oleh negara sehingga banyak tanah baru dibebaskan dan manusia dikeluarkan dari segala penderitaan dan kegelapan kekufuran menuju cahaya keimanan dan kebenaran. Umat Islam hidup sejahtera di bawah naungan Daulah Khilafah.

Selama lebih 1300 tahun, hasil penerapan sistem Islam oleh Daulah Khilafah berdasarkan wahyu Allah SWT, Islam berjaya memimpin hampir dua per tiga dunia dan manusia masuk ke dalam agama Allah secara berbondong-bondong. Pendek kata, umat Islam mencapai kemuncak kegemilangan dengan penerapan Kitabullah dan Sunnah RasulNya oleh para Khalifah yang memerintah. Namun, setelah runtuhnya Daulah Khilafah pada 28 Rajab 1342H, hukum Al-Quran telah digantikan dengan hukum sekular buatan manusia. Negeri kaum Muslimin terpecah-belah dan kesemua pemerintah tidak lagi memerintah dengan apa yang diturunkan oleh Allah. Hasilnya umat Islam menjadi terpuruk, tertindas, mundur dan terus terhina. Benarlah sabda Rasulullah SAW,

“Sesungguhnya Allah mengangkat kedudukan satu kaum dengan kitab ini (Al-Quran) dan merendahkan kedudukan satu kaum yang lain (dengan al-Quran)" [HR Muslim].

Pada hari ini, walaupun Al-Quran dibacakan oleh ramai Muslim, termasuk para pemerintah, namun para pemerintah ini langsung tidak menerapkan hukum Al-Quran. Walaupun Al-Quran masih dianggap sebagai kitab suci oleh para pemerintah ini, namun ternyata ia hanya menjadi kitab suci yang tidak diamalkan. Para pemerintah ini mempunyai ‘kitab suci’ lain yang mereka amalkan dan berpegang teguh dengannya lebih daripada mereka berpegang teguh dengan Al-Quran. Di Malaysia contohnya, Perlembagaan Persekutuan ciptaan si kafir Lord Reid diletakkan sebagai kitab yang lebih tinggi berbanding Al-Quran. Perlembagaan diamalkan seratus peratus sehingga apa sahaja undang-undang (walaupun datangnya dari Al-Quran) yang bertentangan dengan Perlembagaan, maka yang terpakai adalah Perlembagaan! Begitu jugalah di negara-negara umat Islam yang lain - perlembagaan dan undang-undang negara diletakkan lebih tinggi daripada Al-Quran dari sudut amalannya.

Sesiapa sahaja yang membaca Al-Quran mengetahui bahawa Allah SWT menghina dan menggelar golongan yang tidak mengamalkan kitabNya seperti keldai. FirmanNya,

“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepada mereka Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya (tidak mengamalkan isinya), adalah seperti keldai yang memikul kitab-kitab yang tebal. Amat buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim”
[TMQ al-Jumu‘ah (62):5].

Rasulullah SAW pula menyamakan orang yang membaca Al-Quran tetapi tidak mengamalkannya seperti Yahudi dan Nasara. Ziyad bin Labid meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berbicara tentang sesuatu, lalu bersabda,

“Akan tiba satu masa di mana ilmu itu akan hilang.’ Ziyad berkata, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana ilmu boleh hilang sedangkan kita membaca Al-Quran dan mengajarkannya kepada anak-anak kita dan anak-anak kita membaca Al-Quran dan mengajarkannya kepada anak-anak mereka sehinggalah hari Kiamat.’ Baginda menjawab, ‘Wahai Ziyad, semoga ibumumenangisimu, aku kira engkau adalah orang yang sangat memahami agama di Madinah. Adakah engkau tidak melihat bahawa orang-orang Yahudi dan Nasara juga membaca Taurat dan Injil, tetapi mereka langsung tidak mengamalkan isinya?” [HR Ahmad, Ibnu Majah, Tarmizi].

Walaupun banyak celaan yang dilemparkan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka yang tidak mengamalkan isi kandungan Al-Quran, namun sungguh menghairankan kerana masih sahaja terdapat umat Islam yang berbuat demikian. Masih ramai di kalangan umat Islam yang membaca Al-Quran dan bersolat tetapi tetap bergelumang dengan riba, mereka membaca Al-Quran tetapi tetap terlibat dengan rasuah, berpuasa tetapi tidak berdakwah, menunaikan haji tetapi tetap mengamalkan nasionalisme dan patriotisme yang diharamkan oleh Allah SWT. Malah berapa ramai dari umat Islam yang membaca Al-Quran tetapi dalam masa sama mengambil sistem kufur demokrasi. Bahkan apabila diseru untuk menegakkan syariat secara kaffah dan menegakkan Khilafah, mereka mencari pelbagai dalih, malah ada yang menentang. Apakah ertinya mereka membaca Al-Quran? Di manakah letak pengakuan mereka bahawa mereka beriman kepada Al-Quran? Mengapa mereka rela menerapkan syariat Islam dalam solat, puasa, haji, zakat, dan nikah tetapi menolak untuk menerapkan Islam dalam masalah pemerintahan, pendidikan, uqubat, perekonomian dan sebagainya? Allah SWT bertanya dan mengingatkan,

“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Kitab dan kufur terhadap sebahagian. Maka tidak ada balasan bagi orang yang melakukan hal itu di antara kamu kecuali kehinaan pada kehidupan dunia dan pada hari kiamat mereka akan dikembalikan ke dalam azab yang amat pedih. Dan Allah tidak lalai terhadap apa yang kamu lakukan”
[TMQ al-Baqarah (2):85].

Itulah juga sikap pemerintah Muslim di seluruh dunia. Mereka membaca Al-Quran tetapi tidak menerapkannya di dalam negara. Malah merekalah penentang utama kepada penerapan syariat dan Khilafah melalui kejahatan mereka yang senantiasa memantau dan menangkap para pejuang Islam yang ikhlas. Sungguh menghairankan apabila lebih ramai manusia memilih untuk menjadi hina kerana enggan mengamalkan Al-Quran berbanding menjadi mulia kerana berpegang teguh di dalam mengamalkannya.

Khatimah

Sesungguhnya Allah SWT menurunkan kitab Al-Quran di bulan Ramadhan bukan sekadar untuk dibaca. Ia adalah untuk dibaca, difahami dan diamalkan. Inilah apa yang wajib dilakukan oleh umat Islam yakni menjadikan Al-Quran sebagai kitab amalan di dalam mengendalikan sebuah pemerintahan; menjadikan Al-Quran sebagai kitab amalan dalam berekonomi; menjadikan Al-Quran sebagai kitab yang mengatur hubungan antara lelaki dan perempuan; menjadikan Al-Quran sebagai asas kurikulum sistem pendidikan; menjadikan Al-Quran sebagai penentu dasar luar negeri; menjadikan Al-Quran sebagai penetap kepada segala uqubat dan menjadikan Al-Quran sebagai sumber hukum di dalam segala perkara. Ingatlah bahawa hanya dengan mengamalkan Al-Quran manusia itu berpetunjuk dan dengan meninggalkan Al-Quran manusia menjadi sesat dan celaka.
Last Updated on Sabtu, 18 Ogos 2012 20:28