Konferens Wanita Catat Sejarah Perjuangan Wanita Malaysia PDF Print E-mail
Jumaat, 08 Mac 2013 17:05
km13-02SERI KEMBANGAN 3 Mac - Dewan Perdana 1, Hotel Nouvelle, Seri Kembangan, Selangor dipenuhi oleh lebih 700 wanita yang datang daripada seluruh pelosok Malaysia termasuk daripada Sabah dan Sarawak serta daripada Indonesia dan Bangladesh untuk bersama-sama menyertai Konferens Wanita yang buat julung-julung kalinya dianjurkan oleh Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM). Konferens yang mengangkat tema “Menyongsong Penegakan Syariah & Khilafah” ini telah menampilkan empat orang pembicara dari dalam dan luar negara. Mereka terdiri daripada Dr. Ummu Hani binti Mustafa (aktivis MHTM), Ustazah Aisyah Rahmat (Ketua MHTM), Ustazah Iffah Ainur Rochmah (Jurucakap Muslimah Hizbut Tahrir Indonesia) dan Ustazah Ummu Kalsom Abu Muhammad (aktivis MHTM).

Dalam ucapan pembukaan, Ukhti Syamsiyah selaku pengarah program telah membangkitkan realiti dalam kalangan umat Islam yang tidak mengenali secara benar tentang sebuah institusi pemerintahan Islam yang dinamakan Khilafah. Jadi, konferens ini dianjurkan bagi menyedarkan umat Islam khususnya wanita tentang hakikat sebenar Khilafah sebagai sebuah negara Islam yang telah diwariskan oleh Rasulullah S.A.W.

km13-04Dalam pembentangannya yang bertajuk ‘Wanita Dalam Daulah Khilafah Pada Masa Kegemilangan Dan Keruntuhannya’, Ummu Hani selaku panel pertama telah menjelaskan bahawa umat Islam pernah menjadi umat terbaik selama berada di bawah pemerintahan Khilafah. Namun, wanita seluruh dunia telah melalui pelbagai episod duka dalam kehidupan semenjak ia diruntuhkan pada 3 Mac 1924.

Aisyah pula menerangkan tentang realiti kehidupan wanita di bawah sistem kapitalisme dalam pembentangannya yang bertajuk ‘Realiti Kesengsaraan Wanita Malaysia Pasca Keruntuhan Khilafah’. Sistem kapitalisme yang meletakkan manfaat dan keuntungan sebagai tujuan utama kehidupan telah meletakkan wanita sebagai satu aset ekonomi yang kemudian dieksploitasi untuk golongan kapitalis  (pemilik modal) dan negara semata-mata. Kesannya, wanita terpaksa mengabaikan kewajipan utamanya sebagai ibu dan pengurus rumah tangga.
 
km13-15

Selesai rehat, persembahan oleh dua buah kumpulan kanak-kanak telah menyuntik emosi rindu untuk hidup di bawah naungan Khilafah dengan nyanyian nasyid bertajuk ‘Janji Allah Pasti Berlaku’ diiringi dengan kibaran liwa’ dan rayah. Peserta di dalam dewan turut serta bangun untuk menadah tangan memohon kepada Allah supaya seluruh umat di akhir zaman diselamatkan oleh Daulah Islam dan mereka turut melaungkan takbir di akhir persembahan tersebut.
 
km13-11

km13-12Iffah Ainur Rochmah pula membentangkan tajuk ‘Cerita Wanita Nusantara dan Realiti Masa Kini’ yang mengungkap kisah kehidupan wanita Indonesia yang dibelenggu kemiskinan dan terpaksa keluar negara demi mencari nafkah. Beliau juga membangkitkan kesedaran peserta bahawa wanita di Indonesia telah lama bangkit menuntut penerapan syariah dan Khilafah kerana hanya dengan Islam sahajalah wanita akan hidup sejahtera. Justeru, beliau menyeru wanita Malaysia untuk turut serta dalam perjuangan ini.

Dalam pembentangannya yang bertajuk ‘Seruan Kebangkitan: Kesejahteraan Wanita Di Bawah Naungan Syariah dan Khilafah’, Ummu Kalsom selaku pembentang terakhir telah membuat penggulungan dengan penuh rasa perhambaan pada Allah bahawa menegakkan Khilafah adalah satu kewajipan atas setiap Muslim termasuk wanita. Dengan mengungkapkan beberapa dalil-dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah, sesungguhnya Khilafah itu pasti akan tegak kembali untuk kali yang kedua dan kemunculannya sudah tidak lama lagi dengan izin Allah. Para hadhirat tidak putus-putus melaungkan kalimah syahadah dan ‘al-Imraah turid Khilafah Islamiyah’ (Wanita mahukan Khilafah Islam) setelah ucapannya yang penuh bersemangat.

Majlis turut diselang-seli dengan tayangan ucapan dan seruan daripada wakil Muslimah Hizbut Tahrir Jordan, Yemen, Palestin, Australia dan juga UK. Di akhir majlis, sesi soal jawab berlangsung dengan meriah sekali apabila banyak soalan dan pendapat diutarakan oleh peserta di dalam dewan dan penonton siaran langsung. Seorang peserta daripada Indonesia  mengambil kesempatan  menyeru supaya wanita di Malaysia bergabung dengan perjuangan yang sedang gencar di Indonesia. Soalan-soalan yang tidak sempat dijawab kerana kekangan masa telah dijawab dalam satu slot khas ‘Diskusi Panel Konferens Wanita’ yang dirakam secara langsung pada 4 Mac 2013 di Khilafah Centre [Rakaman boleh dilihat di laman sesawang http://www.ustream.tv/channel/hizbuttahrirmalaysia].

Majlis kemudiannya ditutup dengan bacaan doa dan tayangan video perjuangan Muslimah Hizbut Tahrir seluruh dunia.

MHTM dengan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang telah berusaha untuk hadir ke Konferens Wanita ini sama ada yang jauh atau dekat. Semoga tegaknya kembali Khilafah di atas muka bumi ini akan terealisasi tidak lama lagi, Insya Allah.

km13-00

km13-01

km13-05

km13-06

km13-07

km13-08

km13-16

km13-13