SN144 - HUKUM DERMA ORGAN

PDF

SN Keluaran 19 Oktober 2007
 

Logo SN



[SN144] Ramadhan lepas, banyak isu yang telah menjadi perbualan hangat seluruh rakyat Malaysia. Antaranya ialah kes Tee Hui Yee, 14 yang telah setahun menjalani hidup dengan jantung mekanikal. Mungkin nasibnya selama ini tidak pernah dihiraukan, namun setelah Utusan Malaysia melancarkan usaha untuk mendapatkan jantung bagi Hui Yee, maka banyak pihak yang tampil untuk menunjukkan keprihatinan masing-masing, termasuklah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Siapa sangka seorang gadis malang yang tidak pernah mendapat perhatian dari negara, tiba-tiba apabila kisahnya muncul di dada-dada akhbar, ia terus menjadi tumpuan utama. Selain mendapat simpati orang ramai, satu isu penting yang timbul di kalangan rakyat Malaysia, khususnya umat Islam adalah isu hukum derma organ, yang sehingga sekarang masih diperkatakan, apatah lagi kerana ia melibatkan orang Islam dan bukan Islam. Mengulas mengenai hal ini, Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin berkata, dakwaan bahawa menderma organ kepada orang bukan Islam adalah sia-sia kerana tidak menjanjikan pahala adalah tidak benar sama sekali. “Surah Al-Baqarah ayat 272 antara lain membawa maksud pendermaan organ kepada bukan Islam tetap dijanjikan pahala kerana ia dilakukan atas dasar membantu mereka yang memerlukan dan untuk menyelamatkan nyawa,” katanya [UM 02/10/07].

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin berkata, umat Islam tidak harus ragu-ragu untuk menderma organ bagi membantu golongan yang malang kerana ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan adalah diharuskan. “Kita telah memfatwakan pemindahan jantung dan organ lain termasuk mata dalam muzakarah jawatankuasa fatwa pada 1 dan 2 Oktober 1970 dan telah dibincangkan lagi pada tahun 1973,” ujar beliau [UtusanOnline 05/10/07]. Bekas Penasihat Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz pula berkata, pendermaan organ perlu dilihat sebagai satu amalan dan perbuatan baik. “Jika seseorang itu kurang beramal dan mengumpulkan bekalan untuk ke akhirat, maka dermakanlah organ terutama kornea mata dan jantung. “Saya berharap waris-waris terdekat membenarkan organ-organ anggota keluarga mereka yang meninggal dunia terutama dalam kes kemalangan didermakan secara sukarela,” katanya. Penyelaras Pemindahan Jantung dan Paru-Paru Institut Jantung Negara (IJN), Noor Salina Othman berkata, tiada satu pun agama dan undang-undang di dunia ini yang mengharamkan pendermaan organ. Beliau berkata, proses pendermaan organ juga dilakukan dengan begitu mudah bagi menyelamatkan berjuta-juta nyawa manusia di dunia [UM02/10/07]. Kementerian Kesihatan pula akan menguatkuasakan Akta Tisu Manusia 1974 tahun hadapan di mana apabila ianya berkuatkuasa nanti, waris atau keluarga penderma tidak boleh lagi menghalang organ penderma berdaftar. Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, ketika ini, jika terdapat bantahan atau halangan daripada mana-mana pihak, pihak hospital tidak dibenarkan mengambil organ daripada tubuh penderma. “Dengan akta itu, penderma organ berdaftar yang berusia lebih dari 18 tahun berhak untuk mendermakan organ tanpa boleh dihalang oleh mana-mana pihak lagi,” tegasnya [UM 09/10/07].

Untuk menjernihkan kefahaman umat Islam berkenaan isu ini, Sautun Nahdhah kali ini akan mengupas mengenai hukum derma organ secara terperinci dan diharap selepas ini tidak lagi timbul keraguan atau kekeliruan di kalangan kaum Muslimin berkenaannya. Secara ringkasnya, derma atau transplantasi organ adalah pemindahan organ tubuh dari seorang manusia kepada manusia yang lain dan ia boleh berlaku pada saat pendermanya masih hidup atau telah meninggal dunia. Justeru, hukum derma organ ini mestilah dilihat dari kedua-dua aspek ini dan tidak boleh sama-sekali terus meletakkan hukum, tanpa membincangkan kedua-dua perspektif ini:-

(1) Hukum Derma Organ Dari Penderma Yang Masih Hidup

Syara' membolehkan seseorang semasa hidupnya (dengan sukarela dan tanpa paksaan) untuk menderma atau menyumbangkan salah satu atau lebih dari organ tubuhnya kepada orang lain yang memerlukan, seperti tangan ataupun buah pinggang. Ini adalah kerana seseorang itu mempunyai hak yang syar’i ke atas organ-organnya. Ketentuan ini adalah berdasarkan adanya hak bagi seseorang yang tangannya terpotong atau matanya tercongkel akibat perbuatan orang lain, untuk mengambil diyat atau memaafkan orang lain yang telah memotong tangannya atau mencongkel matanya. Hakikat bahawa seseorang itu dibenarkan memberi maaf bagi tangannya yang terpotong atau matanya yang tercongkel, bermaksud dia boleh menderma atau melepaskan diyat (yang menjadi haknya). Kebolehan/kebenaran memaafkan (atau tidak mengambil) diyat ini menunjukkan bahawa seseorang itu memiliki hak ke atas diyat yang sekaligus bermaksud memiliki hak ke atas organnya. Oleh yang demikian, adanya hakmilik orang tersebut terhadap organ-organ tubuhnya bererti dia mempunyai hak untuk memanfaatkan organ-organ tersebut, termasuklah mendermakannya kepada orang lain yang memerlukan organ tersebut. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah membolehkan memberi maaf dalam masalah qisas dan diyat, di mana firmanNya,

Maka barangsiapa yang mendapat suatu pemaafan dari saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diyat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula). Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kalian dan suatu rahmat."
[TMQ Al-Baqarah (2):178]

Walaupun pada asasnya derma organ dalam keadaan di atas dibolehkan (harus), namun ada beberapa keadaan di mana ia boleh menjadi haram:-

(i) Syarat yang membolehkan derma organ pada saat seseorang masih hidup, ialah bahawa organ yang didermakan itu hendaklah bukan merupakan organ penting (vital) yang menentukan kelangsungan hidup pihak yang menderma seperti jantung, seluruh hati dan kedua paru-paru. Hal ini adalah kerana pendermaan organ-organ tersebut akan mengakibatkan kematian orang yang menderma yang bererti dia telah membunuh dirinya sendiri sedangkan adalah haram bagi seseorang membunuh dirinya sendiri atau meminta dengan sukarela kepada orang lain untuk membunuh dirinya, sebagaimana firman Allah,

"Dan janganlah kalian membunuh diri-diri kalian." [TMQ An-Nisaa' (4):29].

Allah juga berfirman,

...dan janganlah kalian membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar.” [TMQ Al-An'aam (6):151].

Keharaman membunuh orang yang diharamkan Allah (untuk membunuhnya) ini mencakup membunuh orang lain dan membunuh diri sendiri. Imam Muslim meriwayatkan dari Tsabit bin Adh-Dhahaak r.a yang mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“...dan siapa saja yang membunuh dirinya sendiri dengan sesuatu (alat/sarana), maka Allah akan menyiksa orang tersebut dengan alat/sarana tersebut dalam neraka Jahannam.” [HR Muslim].

(ii) Demikian pula seorang lelaki tidak dibolehkan menderma dua testis (zakar), meskipun hal ini tidak akan menyebabkan kematiannya. Ini adalah kerana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang pengebirian/kasi (al-khisha'), yang akan menyebabkan kemandulan. Imam Bukhari meriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a, dia berkata,

“Kami dahulu pernah berperang bersama Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sementara kami tidak mempunyai isteri-isteri. Kami bertanya, ‘Wahai Rasulullah bolehkah kami melakukan pengebirian?’ Maka beliau melarang kami untuk melakukannya.” [HR Bukhari]

Hukum ini dapat diterapkan juga untuk pendermaan sebiji testis, sekalipun hal ini tidak akan membuat pendermanya menjadi mandul. Ini adalah kerana sel-sel kelamin yang terdapat dalam organ-organ reproduktif (iaitu sperma pada lelaki dan ovari/telur pada perempuan) merupakan elemen yang dapat menghasilkan anak. Di dalam testis terdapat sel-sel yang menghasilkan sperma kerana hakikatnya testis adalah kilang penghasil sel sperma. Dan testis akan tetap menjadi kilang sperma, baik testis itu tetap berada pada pemiliknya atau pada orang yang menerima transplantasi testis dari orang lain. Atas dasar itu, maka kromosom anak-anak dari penerima transplantasi testis, sebenarnya berasal dari orang yang menderma testis, sebab testis yang telah dia dermakan itulah yang sebenarnya telah menghasilkan sel-sel sperma yang akhirnya menjadi anak. Kerana itu, anak-anak yang dilahirkan akan mewarisi sifat-sifat dari penderma testis dan tidak akan mewarisi sifat-sifat penerima sumbangan testis. Dalam kes ini, secara biologinya, penderma testislah yang menjadi bapa kepada anak-anak yang dilahirkan. Maka dari itu, tidak dibolehkan (haram) menderma samada sebiji mahupun dua biji testis.

Ringkasnya, menderma dua buah testis akan menyebabkan kemandulan penderma dan menderma satu atau dua biji testis akan menimbulkan pencampuradukan dan hilangnya nasab. Islam telah mengharamkan hal ini kerana pada hakikatnya Islam memerintahkan pemeliharaan nasab. Imam Ibnu Majah meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a, dia mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

Barangsiapa yang menasabkan (keturunan) kepada orang yang bukan ayahnya, atau yang berwali bukan kepada walinya, maka dia akan mendapat laknat dari Allah, para malaikat, dan seluruh manusia.”
[HR Ibnu Majah].

Imam Ibnu Majah juga meriwayatkan dari Utsman An-Nahri r.a, di mana dia mendengar Sa'ad dan Abu Bakrah masing-masing berkata yang mereka telah mendengar dan memahami sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bahwa,

“Siapa saja yang mengakui (sebagai anak) kepada orang yang bukan bapanya, padahal dia tahu bahawa orang itu bukan bapanya, maka syurga adalah haram baginya.” [HR Ibnu Majah]

Demikian pula Islam telah melarang seorang wanita memasukkan ke dalam kaumnya nasab yang bukan dari kaumnya, dan melarang seorang lelaki menafikan anaknya sendiri. Imam Ad-Darimi meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa dia mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda tatkala turun ayat tentang li'an (menuduh isteri berzina),

Mana-mana perempuan yang memasukkan kepada suatu kaum, nasab (seseorang) yang bukan dari kalangan kaum itu, maka dia (perempuan itu) tidak lagi bernilai di sisi Allah dan Allah tidak akan memasukkannya ke dalam syurga. Dan mana-mana lelaki yang menafikan anaknya sendiri sedangkan dia mengetahuinya, maka Allah tidak akan menampakkan DiriNya kepadanya dan Allah akan mendedahkan perbuatannya itu di hadapan orang-orang yang terdahulu mahupun yang terkemudian (pada Hari Kiamat).[HR Ad-Darimi]

(2) Hukum Derma Organ dari Penderma Yang Telah Meninggal

Hukum derma atau tranplanstasi organ dari seseorang yang telah mati berbeza dengan hukum derma organ dari seseorang yang masih hidup. Sebelum meletakkan hukumnya (samada syara’ membenarkan atau tidak), kita mestilah terlebih dahulu mengkaji hukum pemilikan tubuh mayat, hukum kehormatan mayat dan hukum keadaan darurat.

(i) Mengenai hukum pemilikan tubuh (mayat) seseorang yang telah meninggal, pendapat yang terkuat menyatakan bahawa tubuh orang tersebut tidak lagi dimiliki oleh sesiapa pun. Ini adalah kerana dengan meninggalnya seseorang, sebenarnya dia tidak lagi memiliki atau berkuasa terhadap sesuatu apapun, samada terhadap hartanya, tubuhnya, anaknya ataupun isterinya. Oleh kerana itu dia tidak lagi berhak memanfaatkan tubuhnya, sehingga dia tidak berhak pula untuk menyumbangkan salah satu organ tubuhnya atau mewasiatkan pendermaan organ tubuhnya. Hal ini umpama dia (simati) tidak boleh mewasiatkan anak atau isterinya untuk berkahwin dengan sesiapa sahaja yang dia (simati) kehendaki, kerana dia (simati) sudah tidak memiliki hak ke atas anak atau isterinya setelah kematiannya. Berdasarkan hal ini, maka seseorang yang sudah mati tidak dibolehkan menderma organ tubuhnya dan tidak dibenarkan pula berwasiat untuk mendermakannya. Wasiat hanya boleh dilakukan terhadap perkara yang seseorang mempunyai hak ke atasnya sahaja dan hak ini hanya didapati dari nas, bukan datangnya dari pertimbangan akal atau kehendak sendiri.

Adapun mengenai keharusan mewasiatkan sebahagian hartanya, sekalipun harta bendanya sudah berada di luar kepemilikannya sejak dia meninggal, hal ini diperbolehkan kerana Asy-Syaari' (Allah) telah mengizinkan seseorang untuk mewasiatkan sebahagian hartanya (tidak lebih sepertiga) dan adanya izin dari Allah ini hanyalah khusus untuk masalah harta benda dan tidak mencakup hal-hal lain. Izin ini juga tidak mencakup pewasiatan tubuhnya. Oleh kerana itu dia tidak berhak berwasiat untuk menderma organ tubuhnya setelah kematiannya. Satu-satunya ‘hak’ yang ada ke atas tubuh (mayat) adalah untuk dikebumikan.

Mengenai hak yang ada pada ahli waris, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala hanya mewariskan kepada mereka harta benda si mati, bukan tubuhnya. Dengan demikian, para ahli waris tidak berhak menderma atau menyumbangkan mana-mana organ tubuh si mati, kerana mereka tidak memiliki tubuh si mati, sebagaimana mereka juga tidak berhak memanfaatkan tubuh si mati tersebut (seperti menjual, menyewa, membedah atau memakan daging/organ dari tubuh tersebut). Ini adalah kerana syarat sah menderma sesuatu benda, adalah bahawa pihak penderma tersebut mestilah berstatus sebagai pemilik yang sah dari benda yang akan didermakan, dan bahawa dia mempunyai hak untuk memanfaatkan benda tersebut. Dan apabila hak mewarisi dan memanfaatkan tubuh si mayat tidak dimiliki oleh para ahli waris, maka hak pemanfaatan tubuh si mati sudah barang pasti tidak pula dipunyai oleh selain ahli waris, bagaimanapun juga kedudukan atau status mereka. Kerana itu, seorang doktor atau penerima derma atau pemerintah sekalipun tidak berhak memanfaatkan (seperti membedah, mengeluarkan, memindahkan atau menggunakan) salah satu organ tubuh seseorang yang sudah meninggal. Berdasarkan nas-nas yang jelas, tanggungjawab orang yang hidup (dan hak ke atas mayat) hanyalah untuk menguruskan jenazah (dari mandi, kafan, solat dan tanam) dengan cara yang baik dan sempurna.

(ii) Adapun mengenai hukum kehormatan ke atas mayat dan penganiayaan terhadapnya, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menetapkan bahawa mayat mempunyai kehormatan yang wajib dipelihara sebagaimana kehormatan orang yang hidup. Dan Allah telah mengharamkan perlanggaran terhadap kehormatan mayat sebagaimana perlanggaran terhadap kehormatan orang hidup. Allah menetapkan bahawa menganiaya mayat sama saja dosanya dengan menganiaya orang yang hidup. Diriwayatkan dari A'isyah Ummul Mu'minin r.a bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Memecahkan tulang mayat itu sama dengan memecahkan tulang orang yang hidup.” [HR Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban].

Imam Ahmad meriwayatkan dari 'Amar bin Hazm Al Anshari r.a, dia berkata, ‘Rasulullah pernah melihatku sedang bersandar pada sebuah kuburan, beliau lalu bersabda,

Janganlah kamu menyakiti penghuni kubur itu.” [HR Ahmad].

Imam Muslim dan Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, dia berkata bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda,

“Sungguh jika seorang dari kalian duduk di atas bara api yang membakarnya, nescaya itu lebih baik baginya daripada dia duduk di atas kuburan.” [HR Muslim dan Ahmad].

Hadis-hadis di atas secara jelas menunjukkan bahawa mayat mempunyai kehormatan sebagaimana orang yang hidup. Begitu pula melanggar kehormatan dan menganiaya mayat adalah sama dengan melanggar kehormatan dan menganiaya orang hidup. Dan sebagaimana tidak boleh menganiaya orang hidup dengan membedah perutnya, atau memenggal lehernya, atau mencongkel matanya, atau memecahkan tulangnya, maka begitu pulalah segala penganiayaan tersebut tidak boleh dilakukan terhadap mayat. Sebagaimana haram menyakiti orang hidup dengan mencaci maki, memukul, atau melukainya, maka demikian pula segala perbuatan ini haram dilakukan terhadap mayat. Tindakan mencongkel mata mayat, membedah badannya untuk diambil jantungnya, atau ginjalnya, atau hatinya, atau paru-parunya, untuk didermakan kepada orang lain, dapat dianggap sebagai menyakiti mayat. Padahal Islam telah melarang perbuatan ini dengan jelas. Dari Abdullah bin Zaid Al Anshari ra, dia berkata, “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang (mengambil) harta hasil rampasan dan mencincang (mayat musuh).” [HR Bukhari]. Imam Ahmad, Imam Ibnu Majah, dan Imam An Nasai meriwayatkan dari Safwan bin 'Asaal r.a, dia berkata, ‘Rasulullah telah mengutus kami dalam sebuah sariyah (divisyen), lalu beliau bersabda,

“Majulah kalian dengan nama Allah dan di jalan Allah. Maka perangilah orang-orang yang kafir terhadap Allah, dan janganlah kalian mencincang (mayat musuh), melakukan pengkhianatan dan membunuh anak-anak.”

Dengan penjelasan fakta hukum mengenai perlanggaran kehormatan mayat dan penganiayaan terhadapnya ini, maka jelaslah bahawa tidak dibolehkan (haram) membedah mayat dan mengambil mana-mana organnya untuk didermakan kepada orang lain. Ini adalah kerana tindakan tersebut dianggap sebagai perlanggaran terhadap kehormatan mayat serta merupakan penganiayaan dan pencincangan terhadapnya sedangkan melanggar kehormatan mayat dan mencincangnya telah diharamkan secara pasti oleh syara'.

(iii) Mengenai keadaan darurat, perlu difahami bahawa darurat adalah satu keadaan di mana Allah membolehkan seseorang yang terpaksa (yang tiada makanan dan nyawanya terancam) untuk memakan makanan yang diharamkan Allah, seperti bangkai, darah, daging babi, dan lain-lain. Jadi, persoalannya, apakah dalam keadaan seperti ini dibolehkan memindahkan salah satu organ tubuh mayat untuk menyelamatkan nyawa orang lain atas alasan hidupnya bergantung pada organ yang akan dipindahkan kepadanya? Untuk menjawab pertanyaan ini harus diketahui terlebih dahulu hukum darurat sebagai syarat awal untuk dapat mengetahui hukum derma organ dari orang yang sudah mati kepada orang lain yang memerlukannya. Mengenai hukum darurat, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

Sesungguhnya Allah mengharamkan bagi kalian bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa atasnya.”
[TMQ Al-Baqarah (2):173]

Dalam ayat ini Allah menjelaskan bahawa orang yang terpaksa (darurat) boleh memakan makanan haram apa saja yang didapatinya, sehingga dia dapat memenuhi keperluannya dan meneruskan hidupnya. Jadi, berdasarkan ayat ini, persoalannya, dapatkah hukum darurat tersebut diterapkan (dengan jalan qiyas/analogi) pada fakta derma organ dari orang yang sudah mati kepada orang lain yang memerlukannya atas alasan ia dapat menyelamatkan nyawanya? Jawabannya perlu diperhatikan betul-betul, sebab syarat penerapan hukum qiyas dalam masalah ini ialah bahawa 'illat (punca disyariatkan hukum) yang ada pada masalah yang hendak diqiyaskan (iaitu derma organ) harus juga terdapat pada masalah pokok yang menjadi sumber qiyas (iaitu keadaan darurat bagi orang yang kehabisan bekal makanan) baik pada 'illat yang sama, mahupun pada jenis 'illatnya. Hal ini adalah kerana qiyas melibatkan penerapan hukum masalah pokok pada hukum masalah cabang, yang mempunyai persamaan 'illat. Maka jika 'illat masalah cabang tidak sama sebagaimana pada masalah pokok (dalam sifat keumumannya atau kekhususannya) maka bererti 'illat masalah pokok tidak terdapat pada masalah cabang. Ini bererti hukum masalah pokok tidak dapat diterapkan pada masalah cabang.

Dalam kaitannya dengan masalah derma organ, organ yang didermakan boleh berupa organ penting yang diduga kuat akan dapat menyelamatkan nyawa, seperti jantung, hati, dua ginjal, dan dua paru-paru. Organ tersebut juga boleh berupa organ penting yang tidak ada kaitan dengan alasan menyelamatkan nyawa, seperti dua biji mata, salah satu ginjal, tangan, kaki, dan sebagainya. Mengenai organ yang tidak ada kena-mengena dengan penyelamatan nyawa di mana ketiadaannya tidak akan membawa kematian, 'illat masalah pokok (iaitu menyelamatkan nyawa) tidak terwujud pada masalah cabang ini (derma organ). Oleh itu, hukum darurat tidak dapat diterapkan di sini. Dengan kata lain, hujah darurat tidak boleh digunakan. Atas dasar ini, maka menurut syara' tidak dibolehkan (haram) memindahkan mata, satu ginjal (untuk dipindahkan kepada orang yang masih mempunyai satu ginjal yang sihat), tangan, atau kaki, dari orang yang sudah meninggal kepada orang lain yang memerlukannya, atas alasan darurat.

Bagi organ yang diduga kuat akan dapat menyelamatkan nyawa, maka ada dua hal yang mesti diperhatikan di sini:-

Pertama: 'Illat yang terdapat pada masalah cabang (derma organ), iaitu menyelamatkan nyawa, tidak selalu dapat dipastikan kewujudannya, berbeza halnya dengan keadaan darurat pada masalah pokok. Ini adalah kerana tindakan orang yang terpaksa (darurat) untuk memakan makanan yang diharamkan Allah akan secara pasti menyelamatkan nyawanya. Sedangkan di dalam kes derma organ (jantung, hati, dua paru-paru, atau dua ginjal), tidak secara pasti akan menyelamatkan nyawa orang penerima organ. Ada kemungkinan nyawanya dapat diselamatkan dan ada kemungkinan tidak. Ini dapat dibuktikan dari rekod perubatan itu sendiri terhadap fakta yang terjadi pada orang-orang yang telah menerima transplantasi organ. Lainlah sekiranya fakta membuktikan bahawa nyawa orang yang didermakan organ itu secara pasti akan selamat, sebagaimana kes memakan benda haram yang secara pasti akan dapat menyelamatkan nyawa.. Kerana itu, 'illat pada masalah cabang (derma organ) sebenarnya tidak terwujud dengan sempurna.

Kedua: Ada juga syarat lain dalam syarat-syarat masalah cabang mengenai qiyas - tidak dibenarkan ada nas/dalil yang lebih kuat yang bertentangan dengannya (ta'arudh raajih), berlawanan dengan apa yang dikehendaki oleh 'illat qiyas. Dalam hal ini, bagi masalah cabang (derma organ), telah terdapat nas/dalil yang lebih kuat yang berlawanan dengan apa yang dikehendaki oleh 'illat qiyas itu sendiri, iaitu keharaman melanggar kehormatan mayat, atau keharaman menganiaya atau menyakiti mayat. Nas yang lebih kuat ini (sebagaimana yang diterangkan di atas) adalah berlawanan dengan apa yang dikehendaki oleh 'illat masalah cabang, iaitu kebolehan melakukan derma organ. Oleh itu, tidak boleh menerapkan 'illat qiyas di sini, di mana telah wujud dalil khusus yang mengharamkan menyakiti mayat, walau dalam keadaan apa sekalipun.

Berdasarkan penerangan di atas, maka haram hukumnya menderma mana-mana organ tubuh pun dari orang yang telah mati. Orang yang sudah mati adalah terpelihara darahnya (ma'sumud dam), tidak kira dia seorang Muslim, ataupun seorang kafir dzimmi (kafir warganegara Daulah Islam) atau pun kafir mu'ahid (kafir warganegara lain yang ada perjanjian dengan Daulah Islam) ataupun kafir musta'min (kafir warganegara lain yang mendapat jaminan keamanan masuk ke dalam Daulah Islam). Justeru, umat Islam amnya dan para ulama khususnya dinasihatkan agar benar-benar kembali kepada nas/dalil di dalam menentukan boleh atau tidak menderma organ, bukannya menetapkan hukum berdasarkan emosi, kepentingan, publisiti atau akal semata-mata, dan umat Islam tidak sewajarnya hanya bertaklid buta dengan harapan (dan kefahaman) bahawa, jika berlaku suatu kesalahan, maka dosa akan ditanggung oleh orang lain. Wallahu a’lam.

Gambar

  • Ustaz Abdul Hakim Othman sedang berucap di depan Kedutaan Perancis, mengutuk tindakan Charlie Hebdo
  • Sdr Razi Salleh membacakan mesej kepada kerajaan Perancis dengan penuh semangat
  • Antara sepanduk yang dibawa peserta perhimpunan di depan Kedutaan Perancis
  • Kempen “Islam Kaffah Dengan Khilafah” sempena Malam Kasih Khalifah di Alor Setar, Kedah
  • Kuliah ringkas “Islam Kaffah Dengan Khilafah” di Masjid berhampiran Pasir Putih, Sandakan
  • Ustaz Abu Syahid menyampaikan Diskusi Terbuka di Khilafah Centre Batang Kali
  • Kempen Islam Kaffah di perkarangan Surau Ubudiah, Bagan Serai, Perak
  • "Street Dakwah" tentang Islam Kaffah oleh syabab HTM di Jalan Masjid India, KL
  • "Street Dakwah" di bandar Sandakan menjelaskan tentang Islam Kaffah di bawah Khilafah
  • Kempen "Our Prophet, Our Honour" oleh syabab HTM, sekali gus mengajak ke perhimpunan aman membantah Charlie Hebdo
  • 1
  • 2
  • 3
  • 4
  • 5
  • 6
  • 7
  • 8
  • 9
  • 10

Galeri Video

DSC 0127

[Perhimpunan Aman] Solidariti Umat Islam Untuk Nabi Muhammad SAW

 

Artikel dan Tsaqafah

Muqawwimat Nafsiyyah

Fikratul Ummah

fu-cover-2014disember

Majalah Nussrah

nusrah-magazine-jan-feb-2015

Mukhtarat

Ebook