SN023 - ISU KESELAMATAN DI SELAT MELAKA - Yang Tersurat dan Tersirat PDF Print E-mail
Isnin, 09 Jun 2008 21:39

PDF

SN Keluaran 2005
 

SN


[SN023]
Kita telah diberitakan dengan kejayaan polis marin Malaysia telah berjaya menumpaskan sekumpulan 10 lanun berasal dari Indonesia merampas sebuah kapal tangki Nepline Delima yang sarat dengan muatan 6,300 tan diesel bernilai RM12 juta 23 batu nautika ke barat daya Pulau Rebak Besar di perairan Langkawi iaitu pada pagi 14hb Jun minggu lepas. Lanun ini telah menjadikan kapten dan 16 orang anak kapal sebagai tebusan. Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Musa Hassan menyatakan bahawa ada kemungkinan lanun yang ditangkap ada hubungan sindiket antarabangsa (BH Jun 17, 2005). Pada bulan Mac lepas pula, sebuah kapal tunda Jepun diserang oleh sekumpulan 35 lanun lengkap bersenjata dan telah menculik dan menawan tiga anak kapalnya dua rakyat Jepun dan pekerja Filipina. Begitu juga bulan April pula tahun ini tentera laut Thailand telah menangkap 10 lanun Indonesia sedang berada dalam bot nelayan ke selatan Pulau Lipe dekat daerah Muang, Satun. Bukan itu sahaja kegiatan lanun di perairan.

Aktiviti lanun di Selat Melaka telah menjadi bahan perdebatan dan perbincangan hangat di forum antarabangsa serta dikaitkan dengan pengganas yang akan bermaharajalela di laluan ketiga sibuk dunia. Masalah Lanun bukanlah masalah baru, tetapi telah berlaku sejak zaman dahulu kala lagi apabila laut telah dijadikan sebagai laluan perkapalan dan perdagangan. Lanun dahulunya tidak secanggih dan sofistikated seperti pada hari ini yang mempunyai senjata api canggih, cekap dan pantas bertindak menaiki kapal menuju ke kabin kapten dan kabin-kabin tertentu, mengetahui dengan tepat laluan ke bilik navigasi dan pantas menyelesaikan operasi. Oleh yang demikian, lanun pada hari ini mulai diragui kerana operasi mereka seolah-olah operasi ketenteraan yang mendapat latihan cukup dan mempunyai stamina ahli komando serta dijamin dengan dana yang tinggi. Maka tidak heranlah sekiranya kes lanun di Selat Melaka ini dikaitkan dengan hubungan antarabangsa berpusat dari negara maju, Singapura.

Berhubungan dengan isu ini, maka Sautun Nahdah minggu ini mengajak para pembaca memahamai realiti lanun pada perspektif hukum syara’ dan situasi percaturan Selat Melaka. Disamping itu menyedarkan umat Islam betapa kita memerlukan kekuasaan yang betul-betul ampuh supaya kedaulatan kawasan umat islam terjaga dari ancaman musuh-musuh islam bertujuan meraih keuntungan.

Lanun dan Hukumnya

Lanun adalah jenayah merompak, merampas dan melakukan tindakan kekerasan di laluan laut yang disebut sebagai qat’u thariq (perompak jalanan) dan dikategorikan sebagai hirabah. Hirabah adalah tindakan sekelompok bersenjata dalam daerah Islam dan melakukan kekacauan, penumpahan darah, merampas harta, merusak kehormatan, merusak tanaman, ternakan, keharmonian agama, akhlaq, dan keamanan masyarakat, baik dari kalangan muslim, ataupun kafir (zimmi atau harbi). (Sayyid Sabbiq, Fiqh Sunnah, bab Hirabah). Termasuk dalam hirabah, adalah kejahatan-kejahatan yang dilakukan oleh sindiket, mafia, kongsi gelap, dan lain-lain.

Hukuman hirabah dan tata cara menjatuhkannya telah disebut di dalam al-Qur’an al-karim. Allah SWT berfirman:

Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerusakan di muka bumi, tidak lain mereka itu dibunuh, atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya); yang demikian itu adalah sebagai suatu penghinaan untuk mereka di dunia. Dan di akhirat mereka memperoleh hukuman yang berat.” [TMQ. al-Maa’idah (5): 33].

Atas dasar itu, hukuman bagi orang yang melakukan hirabah adalah (1) dibunuh, (2) disalib, (3) dipotong tangan dan kakinya bersilangan, (4) dibuang negeri.

‘Ulama berbeza pendapat mengenai mengenai pengertian lafadz ‘au’ (atau) pada ayat itu. Apakah kata ‘au’ pada ayat di atas bermakna takhyiir (pilihan), atau tanwi’ (perincian). Pendapat yang menyatakan, bahawa “au” pada ayat tersebut adalah takhyiir, didasarkan pada hujah, “Bahawa secara bahasa huruf au (pada ayat tersebut) berfaedah pada takhyiir, sebab, mereka tidak menjumpai dalil-dalil lain yang memperincikannya.” Pendapat ini diikuti oleh Abu Tsaur, Malik, Said bin Musayyab, ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz, Muhajid, al-Dlahak, dan Nakha’iy. Berdasarkan penafsiran ini, seorang hakim boleh memilih salah satu hukuman, dari empat hukuman tersebut.

Pendapat kedua menyatakan, bahawa, lafadz ‘au’ pada ayat tersebut berfaedah kepada tanwi’ al-hukum (perincian hukum). Mereka mengetengahkan riwayat dari Ibnu ‘Abbas yang terdapat dalam musnad Syafi’e, mengenai muharibiin, “Jika mereka membunuh dan merampas harta benda, maka dibunuh dan disalib; jika mereka membunuh namun tidak merampas harta, mereka dibunuh dan tidak disalib; jika mereka merampas harta namun tidak membunuh, maka, tangan dan kakinya dipotong bersilangan; jika mereka melakukan teror dan tidak merampas harta, dibuang dari negerinya.”

Pendapat kedua adalah pendapat yang lebih tepat. Pendapat ini dipegang oleh Imam Syaifi’iy, Abu Hanifah, dan Imam Ahmad dalam satu riwayat. Perompak dan penyamun di jalan selalu melakukan dua atau lebih perbuatan jahat. Tindakan atas dua kejahatan atau lebih tidak boleh dijatuhi hukuman dengan jalan memilih (takhyiir) salah satu dari hukuman hirabah, namun harus diperincikan sesuai dengan tindak kejahatan yang mereka lakukan. Allah SWT telah berfirman:

“Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa. [TQS. asy-Syuura : 40].

Justeru itu, cara menjatuhkan hukuman bagi muharibiin adalah dengan memperincikan dahulu tindakan kejahatan mereka, sebagaimana riwayat dari Ibnu ‘Abbas. Menyalib muharibiin dilakukan setelah dilakukan pembunuhan. Maksudnya, setelah mereka dibunuh baru disalib, agar masyarakat mengetahui bahawa ia telah mati. Mereka dijatuhi hukuman sesuai dengan kejahatan yang mereka lakukan.

Kejahatan yang menyebabkan mereka dikenai hukuman hudud, bagi muharibiin, terbatas pada tiga perkara, iaitu membunuh, merampas harta, dan membuat kerosakan di laluan. Jika mereka tidak melakukan tiga pelanggaran di atas, mereka tidak dikenai hukuman. Sebab, hukuman hudud telah ditetapkan secara sharih oleh nas. Oleh kerana itu, bila mereka tidak melakukan tiga kesalahan di atas (membunuh, merampas harta, dan membuat kejahatan di laluan), maka mereka tidak dikenai hukuman dari empat hukuman hudud di atas. Akan tetapi, mereka akan dikenai hukuman jika melakukan penganiayaan terhadap jiwa, dimana hal ini masuk dalam bab jinayat.

Realiti Hirabah

Hukuman hudud bagi muharibiin akan dijatuhkan bila tindakan mereka telah mencerminkan realiti hirabah. Adapun syarat-syarat yang boleh menetapkan, bahawa suatu tindakan disebut tindakan hirabah ada tiga syarat.

Pertama, tempat hirabah yang dilakukan oleh pelakunya mestilah di tempat yang jauh dari tempat orang ramai. Contohnya di padang rumput yang jauh, di gunung, atau tempat jauh dari lokasi penduduk. Jika tindakan itu dilakukan di tempat orang ramai, maka bukan tindakan hirabah, akan tetapi perampasan biasa. Sebab yang disebut dengan hirabah adalah samun, atau perompakan yang dilakukan di jalan-jalan. Akan tetapi, bila mereka melakukan tindakan pembunuhan, perampasan harta, dan kemusnahan di tempat-tempat orang ramai, maka tindakan mereka dianggap sebagai hirabah dan berhak dijatuhi hukuman hudud. Ini adalah pendapat majoriti ‘ulama Fiqh, Abu Hanifah, Abu Tsaur, dan lain-lain.

Kedua, Pelakunya membawa senjata yang dapat digunakan untuk membunuh, contohnya, pedang, senjata api dan lain-lain. Jika mereka tidak membawa senjata, atau bersenjatakan alat-alat yang tidak boleh digunakan untuk membunuh, seperti, tongkat, cambuk, dan lain-lain, maka tindakan mereka tidak disebut dengan hirabah.

Ketiga, dilakukan dengan terang-terangan. Mereka merampas harta dengan paksa dan terang-terangan, dan memiliki markas. Jika mereka mengambil harta dengan cara sembunyi-sembunyi mereka disebut suraaq (pencuri). Jika mereka merampas kemudian melarikan diri, mereka disebut peragut.

Jika tiga syarat ini tidak dipenuhi, maka tindakan itu tidak disebut sebagai hirabah.
Apabila pelaku hirabah (muharibiin) bertaubat sebelum mereka tertangkap, taubat mereka diterima. Mereka juga tidak dikenai hukuman hudud. Akan tetapi, ia harus menunaikan hak-hak orang yang mereka dzalimi, atau hak-hak anak Adam (huquq al-adamiyyin). Ini didasarkan pada firman Allah SWT:

“Kecuali orang-orang yang bertaubat (diantara mereka) sebelum kamu dapat menguasai (menangkap) mereka; maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ. al-Maa’idah (5): 34].

Jika mereka bertaubat setelah tertangkap, maka mereka tetap dikenai hukuman hudud. Lanun yang ditangkap di Selat Melaka hendaklah di hukum dengan Hukuman Hudud.

Selat Melaka dan Cita-cita US

Seterusnya, kenapa isu lanun di Selat Melaka hangat diperbincangkan? Selat Melaka menjadi nadi yang menghubungkan dagangan sedunia dan menyediakan jalinan rangkaian dagangan kritikal di antara pengeluar dan pengekspot di antara dunia Timur dan Barat. Jumlah trafik laluan kapal-kapal di perairan ini mengatasi Terusan Suez dan Terusan Panama, menjadikannya antara laluan dagangan yang paling sibuk di dunia. Selat Melaka mengelolakan jumlah trafik lebih tiga kali ganda dari trafik Terusan Suez, dan lebih lima kali ganda dari Terusan Panama. Trafik kapal tangki melalui Selat Melaka mencatatkan peningkatan mendadak kebelakangan ini dengan kebangkitan China sebagai kuasa besar ekonomi rantau ini. Jadual dibawah menunjukkan bilangan trafik di Selat Melaka. Kuasa-kuasa ekonomi rantau ini seperti Jepun dan Korea Selatan juga mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap bekalan minyak dari Timur Tengah yang majoritinya diangkut melalui laluan Selat Melaka.

Jadual 1 : Bilangan kapal melalui Selat Melaka, 1999 – 2004. [ Jabatan Laut Malaysia]

*** JADUAL BOLEH DILIHAT PADA FAIL PDF

Dengan 1.2 billion penduduk, China menjadi populasi tertinggi dan pengguna ketiga terbesar minyak dunia selepas US dan Jepun. Dengan perkembangan ini, China sedang menghadapi proses perindustrian salah satu terpesat di dunia dengan perkembangan 7% setahun dengan penggunaan minyaknya meningkat 7.5% setahun, 7 kali lebih tinggi dari US [www.iags.org/china.html]. Pada tahun 2003, import minyak China meningkat 30% dibandingkan tahin 2002. Dianggarkan pada tahun 2005 peningkatan ini akan berkembang sebanyak 10% menjadi 7 juta tong sehari [China Brief, The Jamestown Foundation Mac 29, 2005]. Apabila ditambah dengan penggunaan negara Asia Pasifik lain bermakna kira-kira 20 juta tong diperlukan setiap hari. Sejumlah 45 buah kapal tangki minyak China melalui Selat Melaka setiap hari masa kini dan dijangkakan menjelang tahun 2010 ianya akan meningkat kepada 60 buah sehari [Iskandar Sazlan, Jun 2004].

Seterusnya, Selat Melaka telah menjadi laluan laut yang paling baik berbanding pengangkutan darat dan laut untuk mengangkut barangan yang berat dengan jumlah yang banyak dari Lautan Hindi ke Laut China Selatan. Selat Melaka, terlindung dari ombak dan angin besar. Dengan kata lain, risiko melaluinya lebih rendah, dibandingkan melalui laluan alternatif yang lebih jauh memakan masa yang lama dan kos yang lebih tinggi. Laluan alternatif melalui Sunda, Lombok atau Selat Makassar ke Laut China Selatan boleh digunakan sekiranya Selat Melaka terhalang. Namun, penutupan Selat Melaka akan serta-merta menyebabkan peningkatan mendadak kos pengangkutan. Pengalaman penutupan Terusan Suez semasa perang Arab-Israel pada tahun 70an menunjukkan yang harga pengangkutan kapal meningkat berkali-kali ganda yang boleh memberikan kesan yang sama kepada Selat Melaka. Ini akan membawa kepada peningkatan harga minyak yang tentunya mendatangkan kesan buruk kepada ekonomi dunia. Oleh yang demikian, ini memberikan pilihan yang tepat dengan kos yang lebih rendah berbanding dengan laluan darat, udara dan alternatif lain.

Faktor strategik inilah yang memaksa US untuk masuk campur dalam pengurusan keselamatan Selat Melaka. Walaupun US hanya mewakili 4% bilangan kapalnya melalui Selat Melaka, namun sekutu perdagangannya Korea dan Jepun, serta kedudukan syarikat-syarikat besarnya ada disekitar Asia Pasifik adalah meluas. Dan ini menjadi faktor yang akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi, politik dan ketenteraannya, yang dijelaskan dalam dokumen rasminya “… US secara traditionalnya menjadi pemimpin pengubal polisi lautan antarabangsa dan telah melibatkan diri dalam pembangunan perjanjian antarabangsa yang mengurusi kawasan lautan dunia dan sumber-sumbernya. Kepimpinan ini hendaklah dikekalkan dan digalakkan. Cabaran abad 21 memerlukan peningkatan kerjasama antara penggubal polisi di mana-mana untuk mendirikan cita-cita objektif ini dan mengambil tindakan yang perlu untuk mencapainya…” [U.S Commision on Ocean Policy, September 2004]

Oleh itu jelas menunjukkan bahawa penguasaan selat Melaka akan membantu ekonomi, politik dan ketenteraan dan memang telah menjadi cita-cita US. Apatah lagi dengan kehadiran India dan China yang akan menjadi kuasa ekonomi akan datang mendesak US bukan sahaja sebagai pembuat polisi tetapi sebagai pihak yang bertanggungjawap mengurusinya.

Disamping itu juga, National Intellegence Council (NIC) sebuah badan CIA dalam tulisannya bertajuk Mapping the Global Future menjelaskan bahawa, Khilafah baru akan muncul pada tahun 2020 untuk mentadbir dan menguasai dunia. Dimana menekankan ianya akan wujud di kawasan timur dan termasuklah Malaysia dan Indonesia. Dengan ini menjadi faktor politik, dan akan membahayakan kepentingan US pada masa akan datang. Maka dengan penguasaan Selat Melaka, US dapat mengekang, menyerang dan menghancurkannya apabila berdiri kelak. Apatah lagi, kedua negara ini seringkali dihubung-kaitkan dengan tindakan-tindakan terorisme. Sebelumnya, US telah dapat melakukan kerja sama ketenteraan yang erat dengan Thailand dan Filipina. Singapura pula, yang menjadi sekutu kuat US, dijadikan sebagai jurucakap mendesak Malaysia dan Indonesia menerima kehadirannya. Namun begitu kenyataan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyatakan bahawa Malaysia tetap dengan pendirian tidak bersetuju soal kedaulatan negara dikongkong dengan penempatan kuasa ketiga di kawasan perairan tersibuk di dunia. Disamping itu, kehadiran pihak ketiga tidak akan memberi keuntungan kepada negara pesisir [Bernama.com.my Jun 5, 2005]

Disamping itu, tindakan campur tangan US juga boleh menyebabkan tindakan ketenteraan ke atas negara-negara umat Islam yang dekat seperti mana yang berlaku pada Iraq dan Afghanistan. US akan mudah menghancurkan negara yang tidak disukainya sekiranya jiran tetanganya membenarkannya dengan membuka kem ketenteraanya disitu. Selat Melaka dapat berfungsi sebagai kem tentera untuk menyerang negara Asia Tenggara jika pemimpinnya tidak mahu mengikuti kehendak dan keputusan US. Ini seperti yang pernah dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri sekali lagi, bahawa Asia Tenggara khususnya negara-negara pesisir Selat Melaka, perlu belajar daripada kegagalan tentera penjajah yang diketahui US dalam apa yang didakwa sebagai misi membebaskan Iraq [UM Jun 7, 2004]. Namun Peridangan Shangri-La 2005 di Singapura, Datuk Seri Mohd Najib mula membuka sedikit ruang kepada pihak luar dengan menyeru masyarakat antarabangsa dan mereka yang paling banyak mendapat manfaat daripada laluan menerusi selat itu, tampil membantu usaha-usaha berterusan oleh negara-negara pesisir dengan memberikan sumber-sumber yang besar daripada segi aset, keupayaan dan sumber manusia untuk mengawal keselamatan di perairan itu ke satu tahap yang akan menjadikannya tidak lagi menarik bagi lanun dan pengganas [Bernama.com.my Jun 5, 2005]. Namun beliau masih percaya negara persisir masih mampu mengawal keselamatan Selat Melaka.

Namun sampai bilakah Malaysia mesti memberikan alasan-alasan menolak camputangan US? Banyak kawasan kaum muslimin hari ini telah di kuasai oleh kafir. Terusan Suez di Mesir sekarang ini dalam kawalan antarabangsa sedangkan Selat Gibraltar (Jabal Tariq) menjadi kawasan Sepanyol dan British. Dan siapakan yang betanggungjawap sepenuhnya Selat Melaka?

Khatimah

Wahai Kaum Muslimin yang dimuliakan, sampai bilakan kita harus tunduk dan patuh dengan kehendak kaum kufar. Siapakah yang akan menjaga kita dan memperhatikan kawasan tanah umat Islam. Sesungguhnya, dahulu umat Islam merdeka dan tidak bergantung kepada kehendak dan telunjuk kaum kufar. Dahulunya umat islam digeruni dan ditakuti oleh kaum kufar. Dahulunya umat islam dijaga dan tanah mereka diperhatikan oleh Daulah Khilafah. Daulah Khilafah telah berjaya menjadi superpower dunia dan umat islam dipandang mulia dengan kehidupan mereka yang terbaik.

“Sesungguhnya imam/khilafah itu adalah perisai, yang menjadikan manusia berperang dibelakangnya dan berlindung dengannya” [Riwayat Muslim]

Setiap kamu adalah pengembala, dan akan ditanyakan apa yang kamu gembalakan, Imam adalah pengembala, dan akan ditanyakan apa yang digembalakan” [Riwayat Mutaffaq ‘alaih]

Wahai kaum muslimin yang dimuliakan, kita mesti mengambil berat tentang urusan kaum muslimin dalam dan antarabangsa. Sikap berdiam diri kita bukanlah tindakan yang terbaik. Sikap mementingkan diri akan membawa kebinasaan kepada diri kita dan umat Islam keseluruhannya. Janganlah kita leka dan tidak mengendahkan isu ini kerana kesenangan yang kita perolehi. Ingatlah hadith rasulullah :

Siapa sahaja bangun di pagi hari dan perhatiannya kepada selain Allah, maka ia tidak berurusan dengan Allah. Dan barangsiapa yang bangun dan tidak memperhatikan urusan kaum muslimin, maka ia tidak termasuk golongan mereka (golongan muslimin)” [Riwayat Hakim dari al-khatib dari Hudzaifah ra]

Sudah sampai masanya kekuasaan Islam itu hendaklah didirikan kembali. Sudah sampai masanya sejarah akan berulang kembali.

Wallahu’alam bissawab