SN069 - PERJANJIAN ANTARABANGSA - Perangkap Barat Ke Atas Umat Islam PDF Print E-mail
Rabu, 11 Jun 2008 22:48

PDF

SN Keluaran 2006


logo SN



[SN069] Rakyat Malaysia telah menyaksikan beberapa siri perang mulut di antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir dengan beberapa orang Menteri Kabinet, termasuklah Pak Lah sendiri berhubung isu penarikan balik usaha pembinaan Tambak Johor. Pelbagai pihak telah ‘mencemuh’ Tun Dr. Mahathir kerana dikatakan cuba untuk campurtangan di dalam urusan pentadbiran negara. Di antara punca pembatalan pembinaan jambatan menghubungkan Malaysia dan Singapura adalah kerana Tambak Johor yang ingin dimusnahkan itu didirikan berasaskan perjanjian yang telah ditandatangani ketika Inggeris menjajah Tanah Melayu. Oleh itu jika Malaysia memusnahkan Tambak Johor, Singapura mengugut untuk mengheret Malaysia ke Mahkamah Antarabangsa atas alasan melanggar perjanjian yang telah disepakati ketika Inggeris memerintah.

Dilihat dari sudut undang-undang, persoalan pertama yang muncul dibenak kita ialah, adakah kita masih terikat dengan perjanjian yang ditandatangani semasa pemerintahan British? Siapakah yang telah mensahkan penjajahan British ke Tanah Melayu sehingga perjanjian yang dibuat pun masih lagi sah statusnya hingga kini, walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan? Ini adalah sebahagain daripada bukti betapa kuatnya pengaruh undang-undang kufur Barat ke atas diri umat Islam. Walaupun kedatangan mereka ’dibenci’ oleh orang-orang Melayu, tetapi mereka telah berjaya menanamkan pada orang Melayu rasa ’kasih sayang’ terhadap undang-undang mereka. Sang kafir (British) ini meninggalkan Tanah Melayu dengan tersenyum lebar dan hati yang tenang kerana mereka yakin bahawa undang-undang kufur yang mereka telah tinggalkan akan ’diwarisi’ dan ’diperjuangkan’ oleh umat Islam sepanjang peninggalannya.

Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa pihak kafir penjajah telah banyak sekali menandatangani perjanjian-perjanjian dengan negara-negara umat Islam mahupun negara-negara lainnya di sepanjang perjalanan penjajahan mereka. Jika kita perhatikan, boleh dikatakan keseluruhan perjanjian yang ditandatangani telah menguntungkan pihak penjajah. Umat Islam tidak lebih hanya menjadi ’bahan’ kepada perjanjian sahaja umpama menjadi mangsa kepada serigala-serigala yang sedang bekerjasama untuk membahamnya. Inilah hakikatnya, perjanjian-perjanjian antarabangsa yang dipelopori dan ditaja oleh negara-negara Barat ini tidak lebih hanya merupakan rekaan mereka semata-mata demi untuk berkongsi ’hidangan’ agar tidak berlaku pergaduhan sesama mereka. Perjanjian antarabangsa yang dipaksakan ke atas umat Islam misalnya perjanjian Sykes-Picot (16 May 1916) di antara British dan Perancis menyaksikan betapa wilayah umat Islam di robek-robek dan dikuasai dengan mudah oleh penjajah kuffar ini. Perjanjian ini telah memberi hak kekuasaan kepada British ke atas Jordan, Iraq dan sebahagian Haifa manakala Perancis menguasai bahagian Tenggara Turki, Utara Iraq, Syria dan Lubnan. Umat Islam telah menjadi santapan lazat dan dinikmati dengan rakusnya oleh golongan kafir ini. Perpecahan inilah yang telah memudahkan mereka untuk menghancurkan kaum Muslimin seterusnya melenyapkan Daulah Khilafah pada 3 Mac 1924.

Semenjak kejatuhan Khilafah, kita menyaksikan perjanjian demi perjanjian telah direka dan ditandatangani oleh musuh-musuh Islam yang bertujuan untuk mengekalkan hegemoni mereka sekaligus mengaut sebanyak mungkin kekayaan dan menekan negara-negara yang lemah, terutamanya negara-negara umat Islam. Banyak perjanjian antarabangsa yang telah merugikan umat Islam dan merampas hak mereka. Perjanjian damai di antara Palestin dan Israel yang ditaja Amerika telah memaksa umat Islam untuk mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang sah walau pun Israel didirikan di atas tanah yang dirampas daripada orang Islam; Perjanjian Pencegahan Penularan Nuklear (NPT), yang menghalang Iran dari membuat senjata nuklear sedangkan Amerika memberi teknologi nuklear kepada Israel dan India yang tidak menandatangani NPT; Perjanjian AFTA (Perjanjian Perdagangan Bebas Asia Tenggara) yang memberi peluang kepada syarikat asing mengeksport produk mereka tanpa sebarang halangan; dan Perjanjian Perdagangan Bebas (Free Trade Agreement, FTA) yang telah dimeterai antara Amerika dan Malaysia serta Malaysia dan Jepun. Dalam forum Ekonomi Getah Nangka di Gombak pada 2 April 2006, Sanya Reid Smith, penasihat undang-undang di Third World Network menjelaskan bahawa kedudukan kerajaan Malaysia, dasar industri dan pelaburan, dan banyak peraturan lain akan terpaksa dirombak untuk mematuhi FTA dan Amerika menuntut berbagai konsesi sebagai syarat memulakan rundingan.

Bagi menjayakan propagandanya dalam menghancurkan Islam, pelbagai perjanjian antarabangsa telah dipaksakan secara politik (political force) oleh Amerika ke atas negara-negara umat Islam. Banyak perjanjian dibuat mengatasnamakan usaha untuk ‘memerangi pengganas’ yang sebenarnya bertujuan ‘memerangi Islam’ seperti perjanjian Amerika dengan Turki, Arab Saudi, Qatar dan Kuwait agar mereka menyediakan pengkalan bagi Amerika untuk menyerang Iraq. Perjanjian antarabangsa yang diatur oleh Amerika untuk mengawasi Selat Melaka yang melibatkan negara-negara ASEAN adalah tipudaya Amerika untuk campurtangan di Asia Tenggara bagi menempatkan tenteranya. Pemimpin-pemimpin umat Islam yang menjadi boneka Barat telah tanpa rasa bersalah memasuki perjanjian-perjanjian tersebut. Mereka telah memberi segala kemudahan kepada Amerika untuk menyerang dan membunuh saudara seagama mereka. Mereka telah membantu musuh Allah mengalirkan darah saudara mereka. Darah yang mana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam perintahkan untuk dijaga. Darah yang mana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengharamkan untuk ditumpahkan. Demi Allah! Para penguasa kaum Muslimin ini telah melakukan dosa yang amat besar!

Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan, adakah kita perlu berdiam diri dengan apa yang telah menimpa saudara-saudara kita? Adakah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan kita supaya berpeluk tubuh memerhatikan keadaan umat Islam? Atau adakah Junjungan Besar kita memerintahkan supaya kita bekerjasama dengan orang-orang kafir untuk menghancurkan kaum Muslimin? Sedarlah! Agama yang kita anuti ini diturunkan oleh Allah bukan untuk menjadikan kita bersengketa dan menumpah darah sesama sendiri, tidak sekali-kali agama ini menjuruskan kita ke lembah kehinaan. Kehinaan menimpa umat Islam apabila mereka meninggalkan Islam, apabila mereka menjadikan tangan-tangan mereka untuk membuat pilihan mengatasi hukum Allah. Zat yang menciptakan kita mengingatkan:



”Adakah kamu beriman dengan sebahagian dari kitab dan kufur dengan dengan sebahagian (yang lain). Maka tiadalah balasan bagi orang-orang yang berbuat demikian kecuali kehinaan dalam kehidupan dunia dan di Hari Kiamat (kelak) mereka akan dimasukkan ke dalam azab yang keras dan Allah tidak sekali-kali lalai dari apa yang kamu kerjakan.” [TMQ Al-Baqarah:85]

Secara sedar atau tidak, banyak perjanjian antarabangsa yang dimeterai pada hari ini sebenarnya digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk menghalang kaum Muslimin daripada bersatu. Banyak perjanjian yang telah dilakukan oleh Barat bertujuan memisahkan dan memecahbelahkan kesatuan kaum Muslimin melalui sempadan-sempadan geografi. Sempadan yang hanya dilakarkan oleh musuh Allah ini semacam telah menjadi ’aqidah’ bagi pemimpin-pemimpin umat Islam yang betul-betul meyakini bahawa ini adalah negaraku dan itu adalah negaramu. Ingatlah wahai kaum Muslimin! bahawa sesiapa sahaja yang mengucap La ilaha illallah wajib menyembah Tuhan yang Satu, beriman kepada Nabi yang satu, membaca kitab yang satu, solat dengan menghadap kiblat yang satu dan bernaung di bawah satu negara. Rasulullah dan para sahabat telah menunjukkan kepada kita bahawa umat Islam di seluruh dunia wajib bersatu di bawah satu payung pemerintahan yakni Sistem Pemerintahan Khilafah. Umat Islam telah mewarisi sistem ini sehinggalah ke saat ianya dihancurkan oeh musuh-musuh Allah melalui agen mereka, Mustafa Kamal la’natullahu ’’alaihi. Hanya setelah itu, kaum kuffar penjajah berjaya memporak perandakan perpaduan kaum Muslimin dengan sempadan geografi yang telah dipetakan oleh mereka. Sebagai seorang Islam, kita wajib memerhatikan perkara ini dan wajib pula mengetahui apakah hukum bagi negara (pemerintah) memasuki perjanjian-perjanjian seumpama ini.

Hukum Mengadakan Perjanjian Antarabangsa

Para fuqaha telah sepakat atas bolehnya melakukan perjanjian di peringkat antarabangsa berdasarkan dalil-dalil yang jelas dari Al-Quranul Karim dan juga berdasarkan sunah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka juga sepakat bahawa terdapat beberapa perjanjian yang haram dimeterai oleh umat Islam. Di antara dalil yang terdapat di dalam Al-Qur’an ialah,

”Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesunnguhnya Dia Maha Mendengar Maha Mengetahui.” [TMQ Al-Anfal:8]

”(Akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka”
[TMQ Al-anfal:72]

”Bagaimanakah ada perjanjian (yang teguh) bagi orang-orang musyrik disisi Allah dan disisi RasulNya, kecuali pada orang-orang yang kamu telah mengadakan perjanjian (dengan mereka) di Masjidil Haram, maka selama mereka berlaku jujur kepadamu, hendaklah kamu berlaku jujur (pula) kepda mereka” [TMQ At-Taubah:7]

Perlu diperhatikan bahawa apabila kita membincangkan perjanjian antarabangsa, ianya bermaksud perjanjian yang ditandatangani oleh dua negara atau lebih. Di dalam Islam, perjanjian antarabangsa hanya berlaku di antara Negara Islam dengan negara kufur sahaja atau antara negara kufur sesama mereka. Islam tidak mengenal perjanjian antarabangsa yang dimeterai di antara negara-negara umat Islam. Ini kerana tidak boleh (haram) bagi umat Islam mempunyai lebih dari satu negara. Di dalam sistem pemerintahan Islam tidak boleh wujud dua atau lebih negara yang dikenali sebagai Negara Islam. Inilah apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah dan para khulafa-ur-rashidun. Umat Islam hanya bernaung di bawah satu pemerintahan, satu negara yang menyatukan mereka semua. Umat Islam seluruhnya bersatu di bawah satu Daulah. Ini sahaja yang mereka kenal. Tidak pernah ada di sepanjang pemerintahan Islam dari zaman Rasulullah sehingga Khilafah Uthmaniah di mana Islam mengiktiraf kewujudan negara bangsa.

Rasulullah tidak pernah melakukan perjanjian antarabangsa dengan mana-mana negara yang telah masuk ke dalam Daulah Islam kerana secara automatik negara yang telah dibuka oleh Rasulullah menjadi sebahagian daripada Daulah. Itulah apa yang diperintahkan oleh Rasulullah kepada kita. Sejarah Islam tidak pernah berbicara kepada kita bahawa khalifah Islam melakukan perjanjian antarabangsa dengan negara yang telah tunduk kepada Islam.

Di samping dalil yang jelas di dalam Al-Qur’an, sirah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam juga dengan jelas menunjukkan kepada kita bahawa baginda telah memasuki beberapa siri perjanjian antarabangsa dengan kaum kafir, antaranya perjanjian dengan Bani Dhamrah pada 12 Safar tahun kedua Hijriyyah, perjanjian dengan Bani Mudlij, Bani Ailah dan sebagainya dan yang paling masyhur, Perjanjian Hudaibiyyah pada tahun keenam Hijriyyah. Perjanjian Hudaibiyyah merupakan sebahagian dari strategi Rasulullah untuk mengikat Quraish dengan perjanjian damai bagi mengelakkan peperangan dan memberi ruang kepada Negara Islam untuk menyebarkan dakwah ke semenanjung Arab, meluaskan wilayah Negara Islam serta menghalang penduduk Khaibar dari membuat pakatan dengan kafir Quraish yang bertujuan untuk memerangi umat Islam. Rasulullah telah meraih hasilnya apabila perjanjian tersebut walupun nampak berat sebelah, tetapi sebenarnya betul-betul memihak kepada Islam. Islam dapat tersebar ke seluruh jazirah Arab tanpa apa-apa gangguan dari kafir Quraish. Rasulullah juga berjaya menawan Khaibar kerana Yahudi Khaibar tidak dapat bekerjasama dengan Quraish untuk memerangi Islam kesan dari perjanjian ini.

Syarat-Syarat Perjanjian Antarabangsa Yang Dibolehkan dan Yang Diharamkan

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menurunkan Islam untuk mengatur (1) hubungan manusia dengan Penciptanya seperti perkara-perkara akidah dan ibadah; (2) hubungan manusia dengan dirinya sendiri seperti akhlak, makanan dan pakaian; dan (3) hubungan manusia sesama manusia seperti mu’amalat dan uqubat. Hubungan manusia sesama manusia juga merangkumi hubungan umat Islam dengan berbagai negara, invididu-individu dan bangsa-bangsa lain. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menyempurnakan agamaNya sehingga tidak ada satu persoalan pun yang tidak boleh diselesaikan oleh Islam. Allah dan RasulNya telah memberikan panduan kepada kita bagaimana melaksanakan sesuatu perjanjian. Para ulama’ dari zaman silam sampai sekarang telah membahas hukum-hukum syara’ yang mengatur urusan individu, umat dan negara. Mereka menghasilkan begitu banyak karya cemerlang yang membahaskan perkara-perkara tersebut dan ia merupakan kekayaan terbesar yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana umat dalam sejarah dunia. Islam mengandungi jawapan kepada segala perkara.

Di antara syarat-syarat perjanjian antarabangsa yang ditetapkan oleh Islam adalah :

(1) Negara yang diajak untuk membuat perjanjian bukan negara muharibah fi’lan (negara yang sedang berperang dengan umat Islam) seperti Amerika, Israel dan sekutu-sekutu mereka. Islam hanya membenarkan perjanjian dimasuki dengan negara muharibah hukman sahaja (negara kafir yang tidak dalam keadaan memerangi Islam). Walau bagaimanapun, bagi negara kafir muharibah fi’lan, terdapat pengecualian (dibenarkan) menandatangani perjanjian gencatan senjata sahaja. Tidak boleh ada aqad perjanjian di bidang perdagangan dan sebagainya dengan negara muharibah fi’lan. Ini kerana matlamat perjanjian adalah untuk menjaga darah dan harta kedua belah pihak sedangkan negara yang sedang berperang tidak menjamin keselamatan harta dan nyawa. Gencatan senjata dibenarkan dengan negara muharibah fi’lan ini dengan syarat-syarat yang tertentu dan dalam keadaan tertentu sahaja apabila kedua-dua negara yang saling berperang sepakat menghentikan perang selama jangka waktu tertentu. Setelah perjanjian gencatan senjata dilakukan, maka baru dibolehkan melakukan aqad perjanjian lain dengan mereka. Oleh itu perjanjian seperti Perjanjian Camp David dalam tahun 1978 yang ditandatangani antara rejim sekular Mesir dengan Israel adalah tidak sah kerana ia mengakui kewujudan Israel sebagai sebuah negara yang sah walau pun Israel mendirikan negara mereka dengan cara membunuh ribuan umat Islam dan merampas tanah umat Islam. Di samping itu perjanjian itu menghalang Mesir daripada membantu umat Islam yang diperangi oleh Israel. Perjanjian yang dibuat oleh negara-negara kaum Muslimin dengan Amerika yang membolehkan kapal dan pesawat tentera Amerika menggunakan kemudahan-kemudahan tentera di wilayah milik umat Islam juga tidak sah dan jelas-jelas haram hukumnya.

(2) Disyaratkan perjanjian yang ingin dibuat antara negara Islam dengan negara lain tidak bercanggah dengan perjanjian sebelumnya (jika ada) sebab adalah wajib bagi Negara menepati perjanjian yang telah dimasuki terlebih dahulu. Jika perjanjian yang kedua merosakkan perjanjian yang pertama dan membatalkannya, maka hal ini dilarang.

(3) Perjanjian itu wajib menyebutkan setiap perkara yang dikhuatiri boleh menimbulkan perselisihan kerana perjanjian dibuat untuk mengatur hubungan tertentu. Setiap perjanjian mesti disusun dengan teliti, dielakkan ungkapan-ungkapan yang kabur dan peruntukan-peruntukan yang tidak jelas. Kegagalan yang menimpa berbagai perjanjian yang dibuat oleh banyak negara sekarang ini yang mendakwa berusaha untuk mencapai kesepakatan adalah kerana isi perjanjian yang tidak jelas dan berbelit-belit. Perjanjian-perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah dibuat dengan susunan yang teliti, sehinggakan setiap patah perkataan mereka rundingkan samada untuk memakai atau membuangnya. Setelah itu barulah mereka menerapkan apa yang telah disepakati, sebagaimana Perjanjian Hudaibiyyah.

(4) Perjanjian hendaklah dibuat untuk kepentingan penyebaran Islam, mengembang dakwah Islam dan jihad. Misalnya perjanjian yang dibuat oleh panglima tentera Islam yang hebat, Salahuddin al-Ayyubi, dengan Raja-raja Kristian pada perjanjian Ramlah memperlihatkan dengan jelas kepada kita bagaimana perjanjian seperti itu memecah belahkan musuh dan membebaskan al-Quds dari tangan kaum Kristian. Oleh itu uslub perjanjian merupakan uslub yang amat baik dan dapat digunakan oleh Negara ketika melakukan pergulatan politik dan pergulatan fizikal sekaligus. Dasar tentang perjanjian seperti ini diserahkan kepada Khalifah kerana dialah yang dilantik sebagai pemerintah umat Islam dan di antara tugasnya adalah memelihara kekuatan dan kemuliaan umat Islam. Dia juga yang berhak menguruskan perjanjian. Walau pun demikian umat berhak melakukan muhasabah (kritik dan pengawasan) terhadap Khalifah kerana muhasabah adalah hak umat terhadap Khalifah.

(5) Disyaratkan agar perjanjian tidak mengandungi syarat yang rosak kerana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Umat Islam itu sesuai dengan syarat-syarat mereka kecuali syarat yang menghalalkan apa yang diharamkan Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkanNya” [HR Tirmidzi].

Sebagai contoh umat Islam tidak boleh menerima syarat perjanjian yang memberikan kebenaran kepada pesawat tentera udara Singapura menggunakan ruang udara Malaysia yang membolehkan Singapura melakukan pengintipan ke atas kedudukan strategik di Malaysia. Termasuk juga syarat-syarat yang rosak adalah syarat yang diajukan oleh orang-orang kafir agar mereka boleh memasuki Tanah Haram Makkah; atau menampakkan syi’ar orang-orang kafir seperti perjanjian yang mengakibatkan tersebarnya pemikiran atau cara hidup yang bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam di kalangan umat Islam. Begitu juga syarat perjanjian yang disepakati antara pemimpin-pemimpin gerakan Islam di Iraq dengan Amerika untuk tidak melaksanakan undang-undang Islam adalah perjanjian yang tidak sah.

(6) Perjanjian wajib ditulis dengan bahasa Arab kerana bahasa Arab adalah satu-satunya bahasa Islam dan merupakan bahasa rasmi yang digunakan oleh Daulah. Dalilnya adalah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengirimkan surat kepada para raja dan pemimpin dengan bahasa Arab sedangkan baginda mampu mengirim surat kepada mereka dengan bahasa mereka. Perbuatan Rasulullah adalah salah satu Hadis (Sunnah) yang wajib diikuti oleh umatnya. Hanya jika ditakuti muncul bahaya tertentu pada keadaan tertentu dan dalam perjanjian tertentu, maka bolehlah menulis perjanjian dengan bahasa yang diminta.

(7) Perjanjian yang dibuat wajib bersifat sementara dengan batas waktu tertentu dan tidak boleh memutlakkannya atau mengabadikannya. Ath-Thabari telah menyebutkan tentang ijma’ seluruh fuqaha dalam masalah ini di mana para fuqaha seluruhnya berpendapat tentang haramnya perjanjian yan tidak dibataskan waktunya [Al-Jihad li ath-Thabari]. Sebagai contoh, mengadakan perjanjian yang had waktunya 100 tahun seperti perjanjian mencarigali minyak yang membolehkan syarikat asing mengaut minyak selama 100 tahun adalah diharamkan. Akan tetapi yang lebih penting dari itu ialah haramnya memberikan kekayaan di negeri kaum Muslimin kepada kaum kuffar. Banyak sekali bukti yang boleh dilihat dimana penguasa kaum Muslimin telah ‘menyerahkan’ kepada kaum kuffar segala kekayaan sumber alam yang Allah augerahkan di tanah milik umat Islam. Inilah pengkhianatan besar yang telah dilakukan oleh penguasa-penguasa kaum Muslimin!. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memberikan had waktu 10 tahun dalam perjanjian dengan penduduk Makkah di Hudaibiyyah. Di samping itu ayat surah at-Taubah telah membatalkan perjanjian yang bersifat kekal seraya memberikan had waktu 4 bulan. Para ulama’ mazhab Syafie berpendapat tidak boleh lebih dari 4 bulan apabila umat Islam berada di dalam keadaan kuat berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

(Inilah pernyataan) memutuskan perhubungan daripada Allah dan RasulNya (yang dihadapkan kepada orang-orang musyrikin yang kamu (umat Islam) telah mengadakan perjanjian (dengan mereka). Maka berjalanlah kamu (musyrikin) di muka bumi selama 4 bulan” [TMQ At-Taubah:1-2]

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kemuliaan dan kegemilangan kalian akan kembali jika kalian melaksanakan Islam sepenuhnya dalam kehidupan dan menjadikan hukum syara’ sebagai kayu ukur dalam segala perkara. Sedarlah dan marilah kita bersama-sama berusaha untuk menyatukan kembali umat Islam dengan penyatuan yang Allah perintahkan yakni berdasarkan aqidah Islam, penyatuan di bawah satu bumbung pemerintahan, bukan berdasarkan sempadan geografi, bukan bersandarkan patriotisme (wathaniah) mahupun perkauman (asabiyyah). Penyatuan hakiki umat Islam seluruh dunia di bawah satu sistem pemerintahan adalah perkara yang paling ditakuti oleh Amerika dan sekutunya. Ketakutan inilah yang telah menyebabkan mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan umat Islam kekal dalam perpecahan. Perpecahan yang mewabah dalam tubuh umat ini antara lain adalah melalui rekayasa Amerika dengan perjanjian-perjanjian antarabangsa yang mereka telah rancangkan agar umat Islam tidak akan kembali bersatu. Penyatuan umat Islam dibawah satu bendera La ilaha illallah Muhammad Rasulullah yang akan dikibarkan oleh Daulah Khilafah merupakan perkara yang akan menggentar dan menggoncangkan hati-hati kaum kuffar. Inilah mimpi ngeri mereka. Inilah mimpi ngeri Amerika dan sekutu-sekutunya - bersatunya umat Islam dengan kembali tegaknya Daulah Khilafah ’ala minhaj nubuwwah. Mimpi ngeri mereka ini akan segera datang dengan janji Allah. Marilah kita sama-sama menjadikan mimpi ngeri mereka satu kenyataan dengan bersama-sama berusaha mengembalikan kemuliaan yang telah lama hilang ini melalui tariqah dakwah yang digariskan oleh Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam.

ALLAHUAKBAR!