SN280 - SEKULARISME ANCAMAN UTAMA AKIDAH UMAT ISLAM PDF Print E-mail
Jumaat, 21 Oktober 2011 15:36
SN Keluaran 22 Oktober 2011
 
  alt

SEKULARISME ANCAMAN UTAMA AKIDAH UMAT ISLAM
 
 
[SN280] Rentetan dari pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas majlis Thanksgiving Dinner yang diadakan oleh Gereja Methodist Damansara Utama pada awal Ogos lepas, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mengeluarkan titah dan melahirkan rasa amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di negeri Selangor [UM 11/10/11]. Pensyarah UIAM, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari, yang memberi komen tentang kewajaran titah Sultan Selangor itu telah dikelar hebat oleh banyak pihak dan terbaru beliau telah dipanggil oleh polis untuk disoalsiasat. Terkait dengan perkembangan isu akidah umat Islam ini, satu himpunan sejuta umat (HIMPUN) akan diadakan di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober, bertemakan ‘Selamatkan Akidah Umat Islam’.

Pengerusi Bersama HIMPUN, Dr. Yusri Mohamed yang merupakan bekas Presiden ABIM menyatakan, sudah lebih 1000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersetuju untuk menyertai perhimpunan tersebut. Parti Islam SeMalaysia (PAS) bagaimanapun telah menyatakan pendirian rasmi untuk tidak hadir. Perhimpunan yang dikatakan tidak mempunyai motif politik ini, walaupun dipuji namun menimbulkan pelbagai tandatanya khususnya kerana mendapat kelulusan (permit) polis. Ini kerana, umum mengetahui bahawa PDRM tidak akan mengeluarkan sebarang permit atau berkompromi dengan mana-mana perhimpunan yang ‘tidak serasi’ dengan kehendak kerajaan.

Dalam pada kita membincangkan tentang usaha pemurtadan umat Islam oleh puak Kristian yang kita tidak nafikan akan kewujudannya, namun ada satu perkara lain yang jauh lebih membahayakan akidah umat Islam, tidak disedari dan tidak dibincangkan oleh sebahagian besar kaum Muslimin. Perkara tersebut adalah ‘sekularisme’. Sekularisme yang berasal dari ideologi (mabda’) Kapitalisme adalah satu bentuk ajaran yang memisahkan agama dari kehidupan (faslu deen ‘anil hayah). Ideologi Kapitalisme adalah ideologi kufur yang tertegak atas dasar pemisahan agama dari kehidupan. Idea pemisahan agama dari kehidupan (sekularisme) ini menjadi akidah kepada ideologi ini, sekaligus sebagai qiyadah fikriyah (kepemimpinan berfikir) serta qa’idah fikriyah (kaedah berpikir)nya. Berlandaskan qa’idah fikriyah ini, penganut akidah ini berpendapat bahawa manusia berhak membuat peraturan (undang-undang) hidupnya sendiri.

Mereka mempertahankan kebebasan manusia yang terdiri dari kebebasan berakidah/beragama (freedom of religion), kebebasan berpendapat (freedom of opinion), kebebasan hak milik (freedom of ownership) dan kebebasan bertingkahlaku (personal freedom). Dari kebebasan hak milik ini lahirlah sistem ekonomi kapitalis, yang termasuk perkara paling menonjol dalam mabda’ (ideologi) ini atau yang dihasilkan oleh akidah mabda’ ini. Kerana itu, mabda’ tersebut dinamakan mabda’ kapitalisme, sebuah nama yang diambil dari aspek yang paling menonjol darinya. Demokrasi yang dianut oleh mabda’ ini, berasal dari pandangannya bahawa manusia berhak membuat peraturan (undang-undang). Menurut mereka, rakyat adalah sumber kekuasaan dan rakyatlah yang membuat undang-undang (melalui wakilnya). Rakyat jugalah yang menggaji ketua negara untuk menjalankan undang-undang yang telah dibuatnya. Rakyat berhak mencabut kembali kekuasaan itu dari ketua negara, sekaligus menggantikannya termasuklah merubah undang-undang sesuai dengan kehendaknya.

Kelahiran mabda’ ini bermula pada saat kaisar (caeser) dan raja-raja di Eropah dan Rusia menjadikan agama sebagai alat untuk memeras, menganiaya dan menghisap darah rakyat. Para pemuka agama waktu itu dijadikan perisai untuk mencapai keinginan mereka. Maka timbulah pergolakan sengit yang kemudian membawa kebangkitan bagi para ahli falsafah dan cendekiawan. Sebahagian mereka mengingkari adanya agama secara mutlak sedangkan yang lainnya mengakui adanya agama, tetapi menyeru agar dipisahkan dari kehidupan dunia. Akhirnya pendapat majoriti dari kalangan ahli falsafah dan cendekiawan itu cenderung memilih idea yang memisahkan agama dari kehidupan, yang kemudian menghasilkan usaha pemisahan antara agama dengan Negara.

Kemudian, disepakati pula pendapat untuk tidak mempermasalahkan agama, dilihat dari segi apakah diakui atau ditolak. Fokus masalahnya adalah agama itu harus dipisahkan dari kehidupan. Idea ini dianggap sebagai kompromi (jalan tengah) antara pemuka agama yang menghendaki segala sesuatu itu harus tunduk kepada mereka, atas nama agama, dengan ahli falsafah dan cendekiawan yang mengingkari agama dan dominasi para pemuka agama. Oleh itu, idea sekularisme sama sekali tidak mengingkari adanya agama, namun dalam masa yang sama tidak memberikan agama sebarang peranan dalam menyelesaikan masalah-masalah kehidupan. Apa yang mereka lakukan adalah memisahkan agama dari kehidupan. Berdasarkan hal ini, maka akidah yang dianut oleh Barat secara keseluruhannya adalah sekularisme, yakni pemisahan agama dari kehidupan. Akidah ini merupakan qa’idah fikriyah yang menjadi landasan bagi setiap pemikiran di mana di atas dasar inilah ditentukan setiap arah pemikiran manusia dan arah pandangan hidupnya. Berdasarkan hal (pemisahan) inilah, pelbagai masalah hidup diselesaikan. Ideologi ini dijadikan sebagai qiyadah fikriyah yang dikembang dan disebarluaskan oleh Barat ke seluruh dunia.

Bagaimana Sekularisme Mengancam Akidah

Idea faslu deen ‘anil hayah (pemisahan agama dari kehidupan) adalah idea kufur kerana Islam sama sekali tidak memisahkan agama dari kehidupan. Idea ini dibawa dan dikembangkan oleh Barat ke dunia Islam setelah mereka mula menjajah Negara Islam. Setelah berjaya menakluk negeri-negeri umat Islam (termasuk Malaysia) penjajah kuffar Barat terus menancapkan sistem pemerintahan sekular mereka di setiap wilayah umat Islam. Sistem dan undang-undang Islam yang sedia ada dibuang lalu diganti dengan sistem dan undang-undang mereka yang dikenali sebagai sistem demokrasi. Barat lalu melantik ejen mereka dari kalangan penguasa Muslim dan mengajar penguasa ini memerintah dengan cara membuat undang-undang sendiri, sesuai dengan kaedah berfikir mereka yang memisahkan agama dari kehidupan. Maka para penguasa yang telah terbius dengan pemikiran kufur ini pun mula memerintah dengan cara yang diajar oleh Barat dan terus meninggalkan Islam dari pemerintahan. Inilah yang berlaku dari satu generasi ke satu generasi di mana pemerintahan negara umat Islam, walaupun telah merdeka dari penjajah, namun terus-menerus dikuasai oleh puak sekular sehinggalah ke hari ini.
 
Kita semua tahu bahawa sisi penting dari ajaran Islam adalah yang berkaitan dengan aktiviti penguasa (yang sedang memerintah) berhubung dengan penerapan hukum (undang-undang) di dalam Negara. Menerapkan hukum Allah di dalam pemerintahan adalah suatu yang wajib secara qath’ie (pasti/tegas). Allah SWT berfirman,

“Barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan, maka mereka adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44].

Pembahasan dan pemahaman yang benar tentang ayat ini amat penting untuk diketahui memandangkan seseorang itu boleh keluar dari akidah Islam (menjadi kafir) atas sebab tidak berhukum dengan hukum Allah. Lantas, siapakah golongan yang terkena ayat ini dan dalam keadaan apakah ia boleh menjadi kafir?

Sesungguhnya kata “yahkum” (berhukum) pada ayat tersebut serta ayat lain (seperti surah 5:45 dan 5:47) adalah mencakupi siapa sahaja yang memiliki otoriti dan kekuasaan untuk memutuskan suatu masalah (hukum) dan menerapkannya baik sebagai ketua negara atau para menteri atau orang-orang yang memperoleh kuasa dari mereka untuk memutuskan suatu masalah. Dengan kata lain, setiap orang yang memiliki otoriti untuk memutuskan dan menerapkan suatu hukum, maka ia termasuk ke dalam pengertian “yahkum” dalam ayat di atas. Oleh yang demikian, siapa sahaja yang memutuskan dan menerapkan suatu hukum dengan cara yang tidak diizinkan oleh Allah, maka ini bermakna dia telah berhukum dengan selain hukum yang diturunkan oleh Allah, baik kerana kebodohannya atau kerana kesengajaannya. Apabila seseorang itu telah berhukum dengan selain yang diturunkan oleh Allah dengan rasa redha, puas dan tanpa rasa bersalah serta membenarkan apa yang dilakukannya, maka jelas dia telah keluar dari Islam (kafir) berdasarkan ayat di atas.

Sebagai contoh, keharaman riba adalah suatu yang qath’ie berdasarkan sumber dan maknanya yang qath’ie. Bila ada seseorang penguasa yang membuat undang-undang yang membolehkan riba, maka dia sebenarnya telah mengambil selain syariat Allah serta menerapkan hukum selain yang diturunkan oleh Allah dan menghalalkan apa yang jelas diharamkan oleh Allah. Apabila dia mengakui bahawa dialah yang membuat undang-undang tersebut, menerapkannnya dan mempertahankan penerapannya serta redha dan puas dengan penerapannya, maka dia telah dengan jelas mengukuhkan kekufurannya. Masalah ini bukanlah masalah ijtihadi (yang perlu diijtihadkan) akan tetapi ia adalah kefahaman yang secara langsung boleh diambil dari nas ayat di atas. Sama sahaja kedudukannya sama ada pemerintah tersebut menghalalkan riba, arak, judi, zina, murtad, meniadakan hukum potong tangan (hudud) atau menggantikan hudud dengan undang-undang yang lain dan seumpamanya, maka kesemua ini bermaksud bahawa pemerintah tersebut tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan dan dengan jelas termasuk dalam ayat di atas.

Dalam hal ini, perlu dibezakan di antara orang yang melakukan riba tetapi meyakini bahawa riba tersebut haram, dengan orang yang melakukan riba tetapi meyakini bahawa riba tersebut tidak haram. Orang yang pertama hanya dinilai pelaku maksiat manakala orang kedua telah jatuh kafir. Ini kerana, orang pertama masih mengakui kesahihan hukum syarak meskipun menyeleweng sedangkan orang kedua mengingkari hukum syarak yang qath’ie yang termasuk dalam hal ma’lum min ad-deen bi ad-dharurah (suatu yang maklum secara pasti di dalam agama). Manakala bagi para penguasa yang membuat undang-undang dengan meninggalkan hukum syarak yang qath’ie dengan keyakinan bahawa hukum tersebut lebih baik dari hukum Allah, maka dia sesungguhnya telah jatuh kafir tanpa perlu ditakwil lagi. Sama jugalah kedudukan anggota-anggota legislatif yang membuat undang-undang yang bertentangan dengan hukum syarak yang meyakini bahawa undang-undang tersebut lebih baik dari hukum Allah, maka sesungguhnya mereka telah jatuh kafir tanpa perlu ditakwil lagi. Allah SWT berfirman,

“Tidakkah kamu melihat orang-orang yang mengaku dirinya beriman dengan apa yang diturunkan kepadamu dan yang telah diturunkan sebelummu. Mereka hendak berhukum kepada taghut padahal mereka telah diperintahkan mengkufurinya. Dan syaitan itu ingin menyesatkan mereka sejauh-jauhnya
" [TMQ an-Nisa’ (4):60].

FirmanNya lagi,

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan”
[TMQ an-Nisa’ (4):65].

Selain golongan penguasa dan legislatif sebagai pemegang otoriti untuk menerapkan hukum, dari sudut rakyat, walaupun rakyat bukanlah orang yang berkuasa untuk menerapkan hukum, namun sama sahaja dari segi bahaya ancaman akidah yang wujud. Di dalam Surah at-Taubah (9) ayat 31, Allah SWT telah mengingatkan kita tentang kerosakan akidah golongan Yahudi dan Nasara,

“Mereka menjadikan rahib-rahib dan pendeta-pendeta mereka sebagai Tuhan selain Allah”.

Ketika Rasulullah SAW ditanya bagaimanakah mereka menjadikannya sebagai Tuhan, baginda menjawab,

“Mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah, lalu mereka (orang bawahan) mentaatinya”
. Sedarlah wahai kaum Muslimin rahimakumullah!

Terdapat begitu banyak persoalan yang kalian tidak hiraukan atau kalian menganggapnya remeh, namun sebenarnya ia merupakan persoalan yang besar yang boleh mengeluarkan kalian dari akidah Islam, tanpa kalian sedari. Lihatlah pada hari ini, apakah penguasa-penguasa kalian telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah? Demi Allah, mereka sebenarnya telah dan sedang berbuat demikian!!! Namun berapa ramai di kalangan kalian yang terus mentaati penguasa ini dengan menganggap perkara tersebut sebagai ‘tiada apa-apa’. Sedarlah wahai mereka yang berakal, sekiranya kalian mentaati (atau tidak mengingkari) mereka, bererti kalian telah menjadikan mereka sebagai Tuhan-Tuhan selain Allah yang bermaksud kalian telah mensyirikkan Allah...nauzubillahi min zalik!!!

Ketahuilah wahai kaum Muslimin bahawa para penguasa kalian itulah yang merupakan ‘kepala’ kemungkaran. Sistem yang mereka terapkan adalah sumber kepada segala kemungkaran. Rasulullah SAW berpesan kepada kita,

“Barangsiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu (hendaklah ia mengubahnya) dengan lisannya, jika tidak mampu, dengan hatinya. Akan tetapi, yang demikian itu (dengan hati) adalah selemah-lemahnya iman”
[HR Muslim].

Di dalam riwayat lain disebut,

“Dan di luar itu sudah tidak ada lagi sebutir keimanan pun”.

Justeru, apabila seorang Muslim itu lemah untuk merubah dengan tangannya, maka ia tidak boleh lemah untuk merubah dengan lisan dan hatinya. Apabila dia tidak pernah membenci kemungkaran yang dilakukan oleh penguasa dan tidak pula mengingkarinya di dalam hati, maka sudah tidak ada lagi sedikitpun keimanan dalam dirinya, dengan kata lain hatinya telah dipenuhi kekufuran. Justeru, fikirkanlah wahai insan yang masih boleh berfikir, apakah kalian hanya pasrah atau malah kalian redha dan berpuas hati dengan penguasa dan sistem kufur yang diterapkan sekarang tanpa ada sedikitpun perasaan atau usaha untuk merubahnya? Betapa bahayanya akidah kalian sekiranya kalian terus berdiam diri (redha dan puas) dengan sistem kufur yang diterapkan oleh para penguasa sekarang. Inilah perkara yang kalian anggap sebagai remeh tetapi ia sebenarnya memberi kesan yang cukup besar kepada akidah kalian.

Khatimah

Sedarlah wahai kaum Muslimin rahimakumullah, bahawa ancaman kristianisasi tidaklah sehebat ancaman sekularisasi yang ternyata boleh merosakkan akidah dengan dampak yang lebih besar. Selain sekularisme, ancaman liberalisme dan pluralisme juga sama bahayanya. Berbeza dengan kristianisasi, ancaman sekularisme, liberalisme dan pluralisme merupakan senjata ampuh puak kuffar Barat dalam menggelincirkan akidah umat Islam tanpa disedari oleh umat Islam itu sendiri. Justeru, bersihkan dan sucikanlah diri-diri kalian, masyarakat kalian serta para penguasa kalian dari segala bahaya penyesatan akidah sekularisme, liberalisme dan juga pluralisme yang jauh lebih berbahaya dari kristianisasi. Yakinlah wahai kaum Muslimin bahawa hal ini tidak akan dapat dilakukan kecuali sekiranya kalian kembali kepada akidah dan syariat Islam yang sebenar yang didasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Yakinlah bahawa Perlembagaan kufur Lord Reid, undang-undang dan mahkamah syariah yang ada pada hari ini tidak akan dapat menyelamatkan akidah umat Islam, malah semua inilah yang menjadi perosak akidah umat Islam kerana di dalamnya terdapat hukum selain hukum yang diturunkan oleh Allah. Yakinlah bahawa tidak akan tertegak syariat Islam secara hakiki tanpa dihancurkan sistem kufur yang ada hari ini dari akar umbinya, lalu digantikan dengan sistem Islam (sistem Khilafah) dengan memberikan kekuasaan kepada seorang Khalifah yang beriman dan bertakwa kepada Allah dan Hari Akhir yang akan menerapkan hukum sebagaimana yang diturunkan oleh Allah Azza wa Jalla. Dengan penerapan hukum Allah sahajalah, maka akidah pemimpin dan rakyat akan sentiasa terpelihara, Insya Allah.