SN332 - PERANCANGAN DAN KETAKUTAN AMERIKA SERTA SEKUTUNYA DI SYAM PDF Print E-mail
Jumaat, 28 Disember 2012 01:15
PDF
SN keluaran 28 Disember 2012
 


PERANCANGAN DAN KETAKUTAN AMERIKA SERTA SEKUTUNYA DI SYAM

Kekejaman terbaru manusia berhati binatang, Bashar al-Assad di Syria telah meragut lebih 100 nyawa dalam masa seminggu yang lepas. Di Kahtaniyeh, sekurang-kurangnya 20 orang dilaporkan terbunuh, termasuk lapan kanak-kanak, apabila kereta kebal tentera Syria menggempur sebuah kampung di wilayah utara negara itu pada 26 Disember lalu. Tiga hari sebelum itu, hampir 100 orang terbunuh apabila rejim Bashar melancarkan serangan udara ke arah orang ramai yang sedang beratur untuk membeli roti di sebuah kilang di wilayah Hama, tengah Syria. Walaupun angka tepat korban masih belum disahkan, jika jumlah tersebut benar, serangan udara ke atas kilang roti di Halfaya itu merupakan antara insiden keganasan terburuk sepanjang konflik di Syria.

Satu rakaman video menunjukkan berpuluh-puluh mayat berlumuran darah bergelimpangan di jalan raya bersama sisa-sisa runtuhan bangunan, manakala beratus-ratus lagi cedera. Seminggu sebelum itu, tentera Bashar telah melakukan serangan udara ke atas kem pelarian Palestin di Syria yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang. Angka korban pelarian Palestine sejak tercetusnya konflik berdarah di negara itu lebih 21 bulan lalu dianggarkan mencecah 700 orang, termasuk di kem Yarmuk, demikian menurut pegawai daripada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang bertanggungjawab tentang hal ehwal pelarian, Zacharia al-Agha [UM 25/12/12].

Begitulah sedikit perkembangan terbaru mengenai kekejaman ejen Amerika, Bashar yang sudah semakin hilang punca ini. Rejimnya kini sudah hampir tumbang manakala tuannya yang menjaganya selama ini, Amerika, pun sudah tidak mahu melindunginya lagi, malah Amerika sudah mula menggali kubur untuknya. Kawan besarnya yang rapat selama ini, Russia, juga sudah mula menjauhkan diri. Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov memberitahu wartawan Jumaat lalu bahawa ada negara serantau yang secara terbuka meminta Moscow menyampaikan tawaran mereka untuk melindungi Bashar. Dia berkata, Russia menyuruh mereka supaya menyatakan secara langsung tawaran itu kepada Bashar. “Kami jawab – Apa kena mengena kami dengannya? Jika anda ada pelan itu, pergi jumpa dia terus. Jika ada negara yang sedia memberikan jaminan kepadanya, anda dialu-alukan!”. Ditanya sama ada Russia akan tawar perlindungan kepada Bashar, Lavrov berkata, Moscow tiada hasrat itu. “Russia secara terbuka berkata ia tidak menjemput Presiden Bashar al-Assad ke sini”, katanya [BH 24/12/12].

Nah! Sekarang Bashar sudah semakin terasa betapa sempitnya dunia ini, di mana sebelum ini dia merasakan seperti yang dirasai oleh Firaun tatkala berkuasa, bahawa dia boleh melakukan apa sahaja semahunya, boleh menghidupkan dan boleh mematikan! Kini segala lorong kehidupan sudah semakin kabur untuknya. Dari dalam negara, dia menghadapi pasukan yang semakin membesar dan semakin mengepung istananya, manakala di luar negara, pintu kehidupannya sudah semakin tertutup. Selama ini, dia berkawan dengan para syaitan yang menjanjikan seribu satu macam keindahan untuknya. Kini, dia baru sedar bahawa apa yang dijanjikan oleh syaitan itu hanyalah merupakan tipu daya. Tatkala melihat mangsanya sudah mendekati kebinasaan, maka para syaitan ini membiarkannya dan mencari mangsa lain pula untuk diikat dengan perjanjian palsunya yang baru. Malangnya, mangsa baru ini juga tetap tidak mengambil pelajaran dengan apa yang sedang mereka saksikan. Mereka tetap memilih untuk masuk ke dalam perjanjian syaitan yang baru dengan mengharapkan segala janji-janji indah yang telah ditaburkan oleh syaitan ini kepada mereka!

Sesungguhnya perancangan dan perjanjian syaitan ini amat lemah di hadapan kaum Mukminin yang ikhlas, walau sehebat mana sekalipun mereka merancang. Amerika cuba merancang dan membuat perjanjian baru untuk Syria melalui pihak yang bergabung dalam National Coalition yang digagasnya. Kesemua ini dibuat bagi memastikan Syria tidak jatuh ke tangan kaum Mukminin yang telah bersumpah untuk menegakkan Khilafah di bumi Syam itu. Amerika cukup takut berdirinya Khilafah di Syria kerana hal ini akan pasti menggugat segala kepentingan dan hegemoninya selama ini. Melalui National Coalition, Amerika cuba mewujudkan ejennya yang baru yang akan menggantikan Bashar yang sudah tidak berguna lagi kepadanya. Amerika ingin pastikan yang ejen barunya ini akan menubuhkan negara republik sivil sekular demokrasi sebagaimana yang ia kehendaki, yang seterusnya akan menghalang tertegaknya Negara Khilafah di bumi Syam itu. Sesungguhnya ketakutan Amerika itu amat nyata! [Berikut ini dipaparkan nasyrah dari Hizbut Tahrir Pusat yang mengingatkan tentang perancangan Amerika ke atas Syria dan seruan kepada ahlu al-quwwah agar terus istiqamah di jalan kebenaran dan seterusnya memberikan nusrah (pertolongan) kepada Hizbut Tahrir di dalam menegakkan Khilafah]

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bismillahirrahmanirrahim
 
Amerika Dan Sekutunya Kini Bergelut Dengan Masa Untuk Mempersiapkan Pakatan Pemerintahan Dan Mendukungnya Melalui Pelbagai Inisiatif Antarabangsa Kerana Mereka Khuatir Khilafah Islamiyyah Akan Lebih Dahulu Muncul Di Syam, Tanah Islam

Inisiatif politik untuk menyelesaikan krisis Syria kini semakin gencar di mana inisiatif yang terbaru adalah Inisiatif Erdogan sebagaimana yang dilaporkan oleh media pada 17 dan 18 Disember 2012. Terdapat bukti bahawa percaturan politik sekarang sedang mempertimbangkan masalah ini dengan serius. Antara faktor yang menambahkan lagi keseriusan inisiatif ini ialah apabila Moscow, yang selama ini terkenal dengan sokongan dan perlindungannya ke atas rejim Syria, telah menyatakan bahawa inisiatif ini “kemas” dan tidak menolaknya sebagaimana ia menolak inisiatif-inisiatif lain sebelum ini. Tema utama Inisiatif Erdogan ini ialah “Bashar mesti berundur dalam masa tiga bulan pertama tahun 2013 dan dalam masa transisi ini, menyerahkan kuasa kepada National Coalition…”

Apa yang lebih menambahkan keseriusan kepada inisiatif ini adalah  kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden Syria, Al-Shara di dalam wawancara dengan Lebanese News pada 15/12/2012 dan dikeluarkan di media pada 17/12/2012 di mana dia mengatakan, “adalah merupakan satu tanggungjawab untuk mempertahankan Syria dan tidak melakukan pertempuran hanya kerana mempertahankan seseorang atau sesebuah rejim”. Memandangkan Amerika adalah penjaga rejim Syria dan simbol-simbolnya, Al-Shara tentunya tidak akan mengeluarkan kenyataan sedemikian kecuali setelah mendapat lampu hijau dari Amerika. Kenyataan Al-Shara ini selari dengan Inisiatif Erdogan, yang merupakan pelan terbaru untuk menyerahkan kuasa kepada National Coalition dan mungkin Farooque Al-Shara akan mendapat habuan dalam sistem ini!

Semua indikasi ini membuktikan betapa perhatian yang sungguh serius diberikan kepada Inisiatif Erdogan yang terbaru ini. Amerika dan sekutunya telah mempersiapkan satu atmosfera untuk inisiatif ini sejak duta Amerika, Ford, mengeluarkannya pada 11/11/2012. Sejak itu juga, Amerika dan sekutunya telah mempersiapkan segala langkah ke arah menyediakan segala bantuan kepada National Coalition ini….dan juga memberikan pengiktirafan, sebagaimana Amerika telah, secara tertutup, mengiktiraf Coalition ini sejak mula penubuhannya, yang kemudian dilakukan secara terbuka sehari sebelum Konferensi Marrakesh. Hal ini dilakukan agar kesemua negara lain yang jumlahnya lebih dari seratus, mengikuti jejak Amerika pada hari konferensi itu diadakan iaitu pada 13/12/2012, seolah-olah mereka hanya menunggu Amerika untuk melakukannya!

Semua drama ini adalah untuk menunjukkan sokongan kepada Coalition ini bagi membolehkan Coalition menjadi ejen baru menggantikan Bashar yang sudah hampir tamat perkhidmatannya (kepada Amerika), sebelum Amerika menghumban Bashar ke gaung yang dalam, sebagaimana Amerika telah menghumban ejen-ejennya yang lain sebelum ini. Firman Allah, “Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan” [TMQ al-An’am (6):129]. Mereka adalah ejen yang telah mengkhianati Allah, RasulNya dan kaum Mukminin. Mereka tamakkan harta dan takhta dari tuannya serta mengharapkan agar janji yang dibuat dengan tuannya ditunaikan, sebagaimana syaitan membuat janji dengan pengikut-pengikutnya dan memperdaya mereka. Firman Allah “Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka (dengan janji-janji indah) dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong padahal apa yang dijanjikan oleh syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata” [TMQ an-Nisa’ (4):120].

Sesungguhnya Amerika adalah di sebalik inisiatif ini manakala Erdogan dan rejimnya menjadi pemain barisan hadapan kepada segala polisi Amerika di Syria, sejak dari penubuhan National Council pada 2/10/2011, National Coalition pada 11/11/2012, Military Council pada 8/12/2012 sehinggalah ke penubuhan segala suku-sakat kepada Council dan Coalition ini! Namun apa yang menghantui Amerika dan sekutu-sekutunya adalah persepsi bahawa segala Coalition dan Council yang mereka keluarkan dari kilang di seberang laut ini tidak akan mendapat sokongan umum di dalam negeri (Syria) – dari rakyat yang mengibarkan bendera Rasulullah sehinggalah kepada para revolusioner yang ikhlas yang melindungi orang ramai dari rejim Bashar yang sedang mendekati ajal ini, tidak ada seorang pun daripada mereka yang menyokong apa yang dilakukan oleh Amerika!

Justeru, menjadi satu kemungkinan yang besar bahawa Amerika akan mendapatkan keputusan dari Majlis Keselamatan PBB untuk mengerahkan pasukan tentera antarabangsa bagi melindungi Coalition selepas penyerahan kuasa oleh Bashar kepada Coalition. Begitu juga, wujud kemungkinan bahawa mukadimah kepada resolusi yang akan dikeluarkan nanti akan membincangkan tentang penggunaan senjata kimia di mana Amerika akan memainkan isu keselamatan Syria selepas Bashar, mencipta kekecohan berhubung senjata Patriot dan menuduh beberapa kumpulan Islam di Syria dengan terrorism, walhal hakikatnya Amerikalah yang merupakan ibu kepada segala terrorism.

Wahai kaum Muslimin, Wahai para revolusioner yang ikhlas! Darah dan pengorbanan yang telah kalian tumpahkan tidak boleh disia-siakan begitu sahaja. Jika ini berlaku, ia akan hanya memperpanjangkan lagi pelaksanaan sistem republik sivil sekular demokratik atau atas apa sahaja namanya. Dalam sistem ini, hak membuat hukum berada di tangan manusia yang merupakan punca kepada segala bencana dan penderitaan di keseluruhan negeri kaum Muslimin. Jadi, janganlah kalian membiarkan Amerika, sekutunya dan Coalition merealisasikan cita-cita syaitan mereka di bumi Syam, tanah Islam, apatah lagi pada masa di mana fajar Islam mula menyingsing dan Insya Allah tiada lagi kebimbangan bahawa fajar ini akan hilang (setelah ia muncul).

Sesungguhnya pasukan besar kalian semakin mara manakala pasukan Bashar dan penyokongnya semakin berundur. Kemenangan itu datang bersama kesabaran…memandangkan kalian kini sedang mengharungi kehidupan kalian dengan penuh kemuliaan, kalian berhak untuk tidak mensia-siakannya kecuali dengan tujuan mendapatkan kemenangan di dunia ini dan di hari Akhirat. Bagaimana mungkin bumi Syam diperintah oleh selain Islam? Firman Allah, “Apakah hukum Jahiliyah yang kamu kehendaki walhal siapakah yang lebih baik (hukumnya) daripada Allah, bagi kaum yang yakin” [TMQ al-Ma’idah (5):50]. Bagaimana mungkin warga Syam mencari perlindungan, keselamatan, petunjuk dan kesejahteraan pada sistem selain Islam? Firman Allah, “..lalu barang siapa yang mengikut petunjukKu, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Dan barang siapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit…” [TMQ Thaha (20):123-124].

Wahai kaum Muslimin, Wahai para revolusioner yang ikhlas! Sesungguhnya kini hanya ada dua kelompok iaitu kelompok yang beriman yang tidak ada kemunafikan di dalamnya dan kelompok munafik yang tidak ada keimanan di dalamnya. Oleh itu, janganlah kalian memberikan kemenangan kepada kelompok munafik yang merupakan kelompok kuffar penjajah dan ejen-ejennya, dalam usaha mereka menubuhkan sebuah sistem republik sivil sekular demokratik di tengah-tengah kalian, kerana jika ini berlaku, kalian sebenarnya akan kembali kepada sistem yang sama yang kalian tentang selama ini. Ia hanyalah merupakan pengubahsuaian muka-muka yang dikenakan kosmetik di mana seorang ejen lama diganti dengan ejen baru. Kemudian, kalian akan melalui proses penderitaan dan ketidakadilan yang sama yang telah diperingatkan ke atas kalian selama ini.

Jika inilah yang kalian lakukan (memberikan kemenangan kepada puak kuffar/sekular), maka darah-darah kalian akan menghujah kalian di hadapan Allah kelak dan pengorbanan kalian akan mendakwa kalian di hadapan Dzat yang tidak akan menzalimi seorang manusiapun. Kalian justeru akan menyesal dan ingin bertaubat tetapi tidak ada gunanya lagi ketika itu dan kalian akan menjadi seperti seorang perempuan tua yang merungkai kembali benangnya setelah dia menyimpulnya dengan kemas. Oleh itu, jadikanlah setiap usaha kalian sebagai langkah untuk memberikan kemenangan kepada kelompok yang beriman dan ikhlas, “Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang Mukmin tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui” [TMQ al-Munafiqun (63):8].

Wahai kaum Muslimin, Wahai para revolusioner yang ikhlas! Hizbut Tahrir adalah dari kalian dan bersama dengan kalian. Ia menghulurkan tangannya meminta bantuan daripada kesemua ahlu al-quwwah (golongan yang mempunyai kekuatan) yang ikhlas untuk mendirikan kembali Khilafah ala minhaj nubuwah yang kedua, selepas pemerintahan kejam (dictatorship), sebagai merealisasikan khabar gembira yang telah diberitahu oleh Rasulullah SAW melalui sabda baginda, “..kemudian akan kembali Khilafah di atas jalan kenabian” [diriwayatkan dari Musnad Ahmad dan Al-Tayalsi). Kalian adalah ahlu al-quwwah, jadi berilah sokongan kalian kepada Islam dan umatnya. Bantulah mereka yang berusaha untuk mendirikan Khilafah dan jadilah kalian seperti kaum Ansar di Madinah yang telah menolong (agama) Allah dan RasulNya dan orang-orang yang beriman untuk mendirikan pemerintahan Islam.

Wahai warga Syam! Pemimpin tidak akan menipu orang bawahannya. Hizbut Tahrir memberikan khabar gembira dan juga khabar ancaman kepada kalian. Ia memberi khabar gembira dengan firman Allah, “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukan kamu” [TMQ Muhammad (47):7] dan memberi khabar ancaman dengan firmanNya, “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan” [TMQ Hud (11):113]. Justeru, bersumpahlah kalian kepada Allah dan jadilah golongan yang ikhlas. Sesungguhnya Allah bersama dengan kalian dan tidak akan mengurangkan pahala kebaikan kalian sedikit pun.

Hizbut Tahrir
5 Safar 1434H
19 Disember 2012M