SN341 - LAHAD DATU: BAGAIMANA SEPATUTNYA DITANGANI PDF Print E-mail
Khamis, 07 Mac 2013 23:57
SN keluaran 8 Mac 2013
 


LAHAD DATU: BAGAIMANA SEPATUTNYA DITANGANI

[SN341] Seperti tidak ada muqaddimah, tiba-tiba sahaja negara dikejutkan dengan peristiwa Lahad Datu dan lebih parah ia telah melibatkan banyak pembunuhan dan Lahad Datu kini seolah-olah berada dalam zon ‘peperangan’. Asalnya dikatakan bermula dengan tuntutan Sultan Sulu ke atas Sabah, namun kini ia berakhir dengan pertumpahan darah. Setakat ini, 8 orang anggota keselamatan Malaysia telah terbunuh manakala lebih kurang 30 orang ‘tentera’ Sultan Sulu terkorban. Sejak tercetusnya peristiwa ini, terlalu banyak persoalan yang muncul dan bermain di minda rakyat. Paling ketara ialah bagaimana perairan negara boleh diceroboh oleh sepasukan orang bersenjata tanpa dapat dikesan, walhal Malaysia mempunyai peralatan pengesan yang boleh dikatakan agak canggih dengan operasi kawalan perairan yang sistematik oleh beberapa pasukan keselamatan. Ada yang menyifatkan kejadian ini mirip dengan tragedi Al-Maunah di Sauk, Perak lebih 10 tahun lepas yang penuh tanda tanya di mana penceroboh berjaya melepasi kawalan keselamatan dengan cukup mudah. Bermula dari sini, satu per satu persoalan yang mencurigakan muncul, apatah lagi apabila Perdana Menteri tidak tampil memberikan penjelasan kepada segala persoalan rakyat. Tanda tanya lebih besar muncul apabila pasukan polis dan bukannya tentera yang mengendalikan kes ini walhal ia melibatkan pencerobohan bersenjata dari luar, yang seharusnya dikendalikan oleh tentera. Masih banyak lagi peristiwa dan persoalan-persoalan ‘aneh’ yang kekal tidak terjawab, kesemuanya berlegar baik di alam nyata mahupun di alam maya yang menjadi perbualan hangat masyarakat.

Namun, satu hal yang tak dapat dinafikan ialah tragedi berdarah Lahad Datu ini berlaku tatkala pilihan raya umum (PRU) ke-13 sudah sangat hampir. Dengan semakin menimbunnya kes-kes rasuah, kronisme, penyelewengan dan segala macam skandal yang berlaku serta terdedahnya projek pemberian IC percuma di Sabah, yang kesemua ini mungkin sahaja akan menumbangkan kerajaan UMNO-BN dalam PRU nanti, maka tidak hairanlah kalau ada di kalangan pemimpin pembangkang yang menyifatkan peristiwa Lahad Datu sebagai satu konspirasi untuk menutup segala kepincangan dan kelemahan di dalam pentadbiran kerajaan selama ini. Sesuai dengan politik fitnah-memfitnah dan tuduh-menuduh yang subur dalam sistem demokrasi di Malaysia, tragedi Lahad Datu juga tidak terlepas dari semua ini. Media pro-kerajaan, Utusan Malaysia dan TV3 telah mengaitkan penglibatan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan serangan bersenjata di Sabah ini. Manakala Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua pula dikatakan telah menuduh kerajaan sebagai bersandiwara. Sama ada peristiwa ini benar atau tidak, sama ada wujud pihak yang baling batu sembunyi tangan atau sememangnya tiada udang di sebalik batu, hakikatnya adalah, telah banyak nyawa yang terkorban atau dikorbankan. Hakikatnya juga, tatkala pasukan keselamatan sedang berperang di medan, parti pemerintah dan parti pembangkang pula sedang berperang di media, bagi meraih political mileage masing-masing. Inilah sistem demokrasi, sebuah sistem di mana pihak-pihak yang bergelumang di dalamnya akan menggunakan apa sahaja isu dan cara untuk menjatuhkan lawan politik masing-masing, semuanya demi pilihan raya dan demi kuasa.

Masyarakat kini sudah semakin bermaklumat dan boleh menilai serta melakukan analisis terhadap apa yang berlaku. Jika benar ia adalah sebuah perancangan dengan niat jahat tertentu, maka pada zaman IT ini di mana segala maklumat ada di hujung jari, ia hanya akan kembali memudharatkan pihak yang merancang. Namun, dalam keadaan ini, sebagai Muslim, kita tidak dibolehkan (haram) menyebarkan berita dusta atau fitnah. Walaupun kita boleh melakukan analisis dengan baik, namun kita tidak akan tahu dengan tepat kisah di sebalik tabir jika kita bukanlah perancang atau orang yang terlibat di dalamnya. Apa yang dapat kita katakan ialah, jika benar adanya perancangan, maka pihak yang terlibat akan menanggung dosa besar kerana telah terjadi banyak pembunuhan ke atas jiwa-jiwa manusia akibat perancangan jahatnya itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan apa yang dirancang oleh mereka dan Allah sekali-kali tidak berdiam diri dengan perancangan jahat makhlukNya itu dan Allah pasti akan membalasnya. Firman Allah,

“Mereka merancang dan Allah juga merancang dan Allah adalah sebaik-baik Perancang” [TMQ al-Anfal (8):30].

Sebaliknya, jika peristiwa ini benar-benar berlaku tanpa sebarang perancangan daripada mana-mana pihak, maka apa yang harus difikir dan dilakukan oleh kita ialah menyelesaikan masalah ini dengan hukum-hakam Islam. Kita wajib kembali kepada penyelesaian Islam dan bukannya menyelesaikan masalah ini dengan emosi, akal atau dengan undang-undang demokrasi.

Isu Tuntutan

Antara persoalan utama yang perlu diselesaikan di sini ialah isu tuntutan ke atas Sabah (jika benar) oleh Sultan Sulu dan isu pencerobohan yang berlaku. Kita lupakan sahaja bagaimana Sabah masuk ke dalam Malaysia berdasarkan keputusan Suruhanjaya Cobbold 1963, kerana bukan Suruhanjaya yang ditubuhkan oleh penjajah kuffar tersebut yang ingin kita ikuti tetapi hukum Allah-lah yang wajib kita ikuti. Berdasarkan ketetapan Allah, umat Islam adalah umat yang satu dan wajib bersatu. Negara umat Islam adalah negara yang satu dan haram hukumnya bagi umat Islam berada dalam negara yang terpecah belah dengan memiliki lebih dari seorang pemimpin. Umat Islam telah hidup bersatu di bawah naungan Khilafah selama lebih dari 1300 tahun di bawah seorang pemimpin (Khalifah). Hanya setelah kedatangan penjajah, negara umat Islam dipecah-pecahkan dengan kerjasama (pengkhianatan) oleh para pemimpin Muslim ketika itu, termasuklah di kawasan Nusantara seperti Malaysia, Singapura, Selatan Thailand, Brunei, Indonesia dan Selatan Filipina. Inilah (rekayasa penjajah dan pengkhianatan pemimpin) yang menjadi penyebab kepada perpecahan kita sehingga kesatuan Nusantara dan Khilafah terlerai satu per satu dek perbuatan jahat mereka.

Antara penyebab utama kepada kejayaan kuffar penjajah memecahbelahkan kesatuan negara Islam adalah racun assabiyyah dan wathaniyyah yang ditanam ke dalam tubuh umat Islam. Dengan racun inilah, umat Islam sanggup berperang dan berbunuh-bunuhan sesama sendiri hanya kerana ingin mempertahankan bangsa dan negara masing-masing, berdasarkan garis sempadan palsu yang telah ditetapkan oleh penjajah kuffar tersebut. Kerana itulah, bangsa lain tidak dibenarkan tinggal di sesebuah negara tanpa izin dari penguasa negara tersebut, walaupun hakikatnya mereka adalah sesama Muslim yang mempunyai akidah yang sama. Dengan sikap wathaniyyah yang ada pada sesuatu bangsa, ia menjadikannya “kasih” kepada negaranya dan akan mempertahankannya dari “dicerobohi” oleh bangsa atau negara lain. Ia merasakan bahawa negara itu adalah miliknya dan tidak boleh diduduki, apatah lagi dimiliki oleh orang lain, walaupun sesama Muslim. Inilah juga apa yang terjadi kepada Malaysia dan Sulu. Perbalahan dan peperangan boleh terjadi tatkala masing-masing pihak mendakwa dan berebut hak ke atas wilayah/tanah yang sama (Sabah). Perasaan wathaniyyah (patriotisme) telah menutup segala sikap kasih sayang, persaudaraan dan kesatuan yang diwajibkan oleh Allah ke atas sesama Muslim.

Walhal menurut hukum Islam, keseluruhan wilayah/tanah Islam adalah hak kaum Muslimin dan setiap Muslim bebas bertempat tinggal di wilayah/tanah mana sekalipun yang disukainya. Justeru, bangsa Melayu boleh menetap di tanah Arab, bangsa Parsi boleh menetap di Pakistan, bangsa Turki boleh menetap di Indonesia, bangsa Sulu boleh menetap di Malaysia dan seumpamanya. Ini kerana, keseluruhan wilayah/tanah Islam adalah milik kita bersama, bukan milik bangsa-bangsa tertentu dengan mengecualikan bangsa lain. Oleh yang demikian, tindakan menghalang kemasukan atau menghalau balik saudara sesama Muslim dari tanah Islam adalah satu keharaman dan dosa. Sekiranya bangsa Sulu ingin menetap di Malaysia atau bangsa Melayu ingin menetap di Sulu, maka hal ini dibolehkan oleh Islam tanpa adanya apa-apa sekatan, malah wajib pula bagi penguasa untuk memberikan mereka perlindungan sekiranya mereka dizalimi. Inilah hukum Islam. Berdasarkan hukum Islam juga, tidak seharusnya timbul isu pembayaran sagu hati kepada pewaris takhta Sultan Sulu oleh kerajaan Malaysia sebanyak RM5000 setahun atas pertimbangan tanah Sabah yang dilepaskannya [BH 6/3/13]. Manakala kerajaan Malaysia pula tidak sepatutnya menghalau keluar bangsa Sulu yang ingin bertempat tinggal di Sabah atau di mana-mana negeri di Malaysia, kerana berdasarkan Islam, kita semua adalah bersaudara, wajib bersatu dan haram bagi seseorang Muslim menyakiti apatah lagi menzalimi saudaranya.

Umat Islam wajib memahami bahawa sikap assabiyyah dan wathaniyyah adalah haram dan apa sahaja usaha atau cubaan untuk memecah-belahkan lagi negeri kaum Muslimin seperti cubaan untuk membawa keluar Sabah dari Malaysia, membawa keluar Timor Timur atau Aceh dari Indonesia, memisahkan Sudan Selatan dan Sudan Utara atau memecah-belahkan Malaysia dan Indonesia dan seumpamanya, maka semua tindakan ini adalah haram. Apatah lagi sekiranya umat Islam bergaduhan dan berbunuhan sesama sendiri di dalam melakukan keharaman ini, maka terlebih lagi besar dosa dan seksanya. Rasulullah SAW bersabda,

“Bukanlah dari kalangan kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah” [HR Abu Daud].

Di dalam hadis dari AbiBakrahNufai’ al-Tsaqafi bahawa Nabi SAW bersabda,

“Jika ada dua orang Muslim bertemu dengan menghunus pedang masing-masing (mahu saling membunuh), maka yang membunuh dan yang dibunuh sama-sama masuk neraka’. Aku bertanya, ‘Ya Rasulullah, kalau yang membunuh itu memang sudah selayaknya (masuk neraka) tetapi bagaimana dengan yang dibunuh?.’ Baginda menjawab, ‘Sesungguhnya dia juga (masuk neraka kerana) berkeinginan kuat untuk membunuh lawannya itu”
[HR Mutafaq ‘alaihi].

Justeru, sekiranya semua pihak berpegang kepada Islam, isu tuntutan ke atas Sabah sehingga sanggup berbunuhan sesama Muslim tidak akan timbul, sebaliknya akan diganti dengan sikap ingin bersatu, kebertanggungjawaban dan sikap ukhwah yang tinggi, baik di pihak Malaysia mahupun Sulu yang merupakan umat Muhammad yang satu.

Isu Pencerobohan

Setiap warganegara wajib bertanggungjawab kepada Negara Islam dan haram untuk mereka memberontak terhadap penguasa yang dilantik secara sah menurut hukum syarak. Sekiranya mereka memberontak dengan kekuatan bersenjata, maka mereka akan dianggap sebagai bughat dan akan diambil tindakan sewajarnya menurut hukum syarak. Peperangan ke atas mereka adalah peperangan yang bersifat mendidik, yakni sekadar berusaha untuk melumpuhkan kekuatan mereka dan bukannya untuk melakukan kemusnahan dan pembunuhan sebagaimana peperangan dengan kafir harbi(sila lihat perbincangan tentang bughat dalam SN268). Manakala jika wujud penceroboh dari luar yang ingin menyerang atau berperang dengan Negara Islam, maka hal ini perlu diperhalusi terlebih dahulu – jika penceroboh adalah dari golongan kafir, maka hukum ke atas mereka adalah diperangi (jihad fi sabilillah). Sekiranya ada korban di pihak kita, maka ia adalah syahid.

Namun jika penceroboh adalah dari golongan Muslim, ini bermakna berlakunya perang saudara atau perang fitnah (berbunuhan sesama Muslim) yang diharamkan oleh Islam. Setiap Muslim wajib diingatkan agar menjauhi atau tidak terlibat di dalam peperangan ini. Kepada golongan yang berperang, mereka wajib didamaikan. Terlalu banyak nas yang melarang umat Islam terlibat di dalam perang sesama sendiri. Firman Allah SWT,

“Dan jika ada dua golongan dari orang-orang Mukmin berperang, maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain, maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah) maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil” [TMQ al-Hujurat (49):9].

Berhubung dengan perang fitnah,Nabi SAW bersabda, yang dikeluarkan oleh al-Bazzar,

“Jika kalian saling berperang demi urusan dunia, maka orang yang membunuh dan yang terbunuh sama-sama berada di neraka”.

Manakala jika si penceroboh hanya ingin melakukan kekacauan dalam negara, melakukan pembunuhan, rompakan atau mewujudkan ketakutan dan ketidakstabilan, maka dalam hal ini, mereka ini (tidak kira Muslim mahu pun non-Muslim) sebenarnya telah melakukan tindakan hirabah (keganasan/perlanunan) atau dikenali juga sebagai qutha’ al-thariq. Muharibin adalah kelompok pengganas, baik Muslim mahupun non-Muslim, yang memisahkan diri dengan menggunakan kekuatan dan senjata yang mereka miliki dengan tujuan merampas, menceroboh, membunuh dan menebarkan ketakutan di tengah-tengah masyarakat. Umumnya mereka berada di luar kota, di kampung-kampung, gunung-gunung, gurun-gurun dan lain-lain, termasuk di dalam kereta api, kapal terbang, kereta atau di mana sahaja di luar kota, yang jauh atau sulit untuk mendapatkan pertolongan segera [NidzamulUqubat, Abdul Rahman al-Maliki]. Inilah realiti yang dapat kita saksikan di Lahad Datu sekarang di mana apa yang sebenarnya dilakukan oleh ‘tentera’ kesultanan Sulu adalah aktiviti hirabah. Jika benar mereka berniat untuk merampas dan memisahkan Sabah, dari segi hukum, tindakan ini adalah haram dan perlu dihalang. Mereka perlu disedarkan bahawa Sabah dan Sulu dan lain-lain negeri umat Islam, secara syar’ienya wajib berada di bawah satu kesatuan. Sepatutnya kesemua wilayah umat Islam disatukan, bukan dipisahkan, kerana ia adalah milik kita bersama.

Oleh sebab mereka telah melakukan tindakan hirabah, maka apa yang wajib dilakukan ke atas mereka adalah menyeru mereka untuk meletakkan senjata dan menyerah diri dengan cara memberi nasihat dan peringatan. Jika mereka kembali (bertaubat), maka mereka dibebaskan; jika tidak, maka mereka hendaklah diperangi. Negara wajib mengirim pasukan tempur untuk memerangi mereka serta menghancurkan ancaman mereka terhadap masyarakat [al-Jihad wa al-Qital, Dr. Muhammad Khair Haekal, Jilid I]. Setelah mereka berjaya ditangkap, maka hukum Islam ke atas mereka adalah sebagaimana firman Allah SWT,

“Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bersilang atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya)” [TMQ al-Ma’idah (5):33].

Imam Syafie meriwayatkan dalam Musnadnya berkenaan qutha’al-thariq, dari Ibnu Abbas ra,

“Jika mereka membunuh dan merampas harta benda, mereka akan dibunuh dan disalib. Jika mereka membunuh tetapi tidak merampas harta benda, mereka dibunuh sahaja namun tidak disalib. Jika mereka merampas harta benda tetapi tidak membunuh, maka tangan dan kaki mereka dipotong secara bersilang. Dan jika mereka melakukan terror di jalanan dan tidak merampas harta benda, usirlah mereka.”

Mengikut Dr. Muhammad Khair Haekal lagi, jika Muharibin adalah Muslim, maka status memerangi mereka tidak layak dikatakan sebagai jihad, kerana maksud jihad adalah memerangi orang-orang kafir demi meninggikan kalimah Allah.

Khatimah

Ingatlah wahai kaum Muslimin, bahawa keseluruhan wilayah/tanah Islam, termasuklah wilayah yang sekarang ini diduduki dan dikuasai oleh puak kuffar seperti Palestin, Sepanyol, Selatan Thailand dan Filipina, adalah tanah kita semua. Sekiranya kita tidak sanggup untuk melepaskan walaupun seinci tanah Sabah, kenapa pula kita dengan mudah sanggup melepas dan membiarkan tanah selatan Thailand, tanah Singapura, tanah Palestin dan lain-lain lagi kepada puak kuffar? Sekiranya kita sanggup mengerahkan 7 batalion tentera demi menyelamatkan Sabah, kenapa kita tidak sanggup mengerahkan satu pasukan tentera pun untuk menyelamatkan selatan Thailand dan Palestin? Kenapakah pasukan polis dan tentera ini sanggup bersungguh-sungguh berperang sesama Muslim tetapi tidak sanggup memerangi puak kuffar yang memusuhi Islam? Ingatlah wahai para pemimpin, polis dan tentera yang mempunyai kekuatan, musuh sebenar kita ialah puak kuffarlaknatullah dan bukannya sesama Muslim. Misi sebenar tentera ialah untuk berjihad melawan kaum kuffar, membebaskan keseluruhan wilayah Islam yang terjajah, membebaskan kaum Muslimin yang tertindas dan menyatukan kaum Muslimin di bawah naungan satu negara yakni Negara Khilafah. Berjuanglah kerana Allah demi mempertahankan dan menyatukan wilayah-wilayah Islam, atas nama Islam semata-mata, bukannya atas nama assabiyyah dan wathaniyyah yang diharamkan oleh Allah SWT.